Home Buletin Semasa UMK-IMPHB FOKUS PEMBANGUNAN PRODUK KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN

UMK-IMPHB FOKUS PEMBANGUNAN PRODUK KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN

190
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) menjalin kerjasama strategik bersama IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) bagi memperkasa pembangunan akademik, kebolehpasaran graduan serta pembangunan industri kesihatan dan kesejahteraan.

Dekan FHPK UMK Kampus Kota, Profesor Madya Dr Mohd Fadil Mohd Yusof berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada kolaborasi dalam bidang pengajaran, latihan industri, penyelidikan serta pembangunan produk berasaskan kesihatan dan kesejahteraan.

“Hasil perbincangan bersama pengurusan IMPHB, beberapa projek dalam masa terdekat sudah dikenal pasti termasuk penghantaran pelajar bagi penglibatan dalam program, aktiviti komuniti serta pendedahan industri.

“Kami akan bekerjasama dalam aktiviti penyelidikan untuk menghasilkan produk-produk berasaskan kesihatan dan wellness. Industri wellness kini semakin berkembang dan penglibatan industri amat penting bagi melatih pelajar, khususnya sebagai usahawan,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden IMPHB, Hasnah Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan, Syahrul Azlan Mahmood, Ketua Jabatan Kesejahteraan FHPK, Dr. Mohd Hakam Nazir, Ketua Jabatan Pelancongan FHPK, Dr. Aikal Liyani Rasdi dan Pensyarah Kanan FHPK, Dr. Nik Alif Amri Nik Hashim serta Dr. Ahmad Faezi Ab. Rashid.

Beliau berkata demikian kepada kru IMedikel TV selepas Majlis Kunjung Hormat Delegasi FHPK, UMK Kampus Kota dan IMPHB di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak fakulti turut memberi fokus kepada bidang kesejahteraan dan kesihatan, selari dengan penawaran program akademik serta penubuhan pusat kajian berkaitan, termasuk penyelidikan dalam bidang postnatal bagi ibu selepas bersalin.

“Kerjasama ini membolehkan universiti dan industri berganding bahu dalam pembangunan produk serta latihan pelajar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pendedahan kepada industri berpotensi tinggi seperti sektor kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Fadil berkata, UMK turut merancang untuk menghantar pelajar yang layak menjalani latihan industri di IMedikel bagi tempoh antara empat hingga enam bulan bagi membolehkan mereka memperoleh pengalaman sebenar industri.

Jelasnya beliau berharap pihak fakulti dapat mengambil pendekatan yang lebih agresif dengan membabitkan kerjasama industri secara menyeluruh bagi memperkasakan sektor pengajian tinggi. 

“Harapan saya agar pihak fakulti dapat mengambil pendekatan yang lebih agresif dengan melibatkan kerjasama industri bagi memperkasakan sektor pengajian tinggi.

“Saya percaya penglibatan industri ini mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menyediakan lebih banyak peluang, khususnya untuk menceburi bidang berpotensi tinggi seperti sektor kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Korporat IMPHB, Mohd Firdaus Mohamed Yusoff berkata, pihaknya melihat peranan universiti sebagai rakan strategik penting dalam menyokong pembangunan industri kesihatan, khususnya dalam penghasilan produk serta pembangunan bakat.

Menurutnya, kerjasama bersama UMK berpotensi memberi tumpuan kepada pembangunan produk kesihatan termasuk produk berkaitan ibu mengandung, penjagaan postnatal serta produk kesejahteraan yang boleh dimanfaatkan dalam sektor hospitaliti dan spa.

“Di bawah fakulti ini kita fokus kepada pembangunan produk kesihatan, terutamanya produk berkaitan penjagaan ibu mengandung dan ibu berpantang.

“Produk-produk dalam kategori kesihatan ini berpotensi untuk dibangunkan secara bersama dengan IMedikel, termasuk penghasilan produk berasaskan kesihatan dan kesejahteraan. Hasil produk tersebut seterusnya boleh dipasarkan dan diedarkan ke pusat-pusat spa yang terdapat di dalam UMK.,”katanya.

Beliau berkata, pertemuan sulung antara delegasi IMPHB dan FHPK UMK Kampus Kota itu memberikan impak positif serta membuka ruang kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.

“Kerjasama ini membabitkan sektor industri dan pendidikan tinggi yang mampu memberi manfaat bersama, khususnya dalam pembangunan produk, latihan serta perkhidmatan berkaitan hospitaliti, spa dan kesejahteraan,” katanya.

Kerjasama strategik itu dijangka dapat memperkukuh hubungan universiti dan industri, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan dan pertumbuhan industri kesihatan negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here