Home Buletin Semasa IMIGRESEN JOHOR TAHAN 149 WARGA ASING DALAM OPERASI KUTIP DI TAPAK PEMBINAAN

IMIGRESEN JOHOR TAHAN 149 WARGA ASING DALAM OPERASI KUTIP DI TAPAK PEMBINAAN

164
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 149 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di kawasan Seri Alam, di sini, pada Isnin.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 2 petang itu membabitkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor hasil risikan terperinci serta aduan awam berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara terancang bagi mengesan kesalahan termasuk penggajian warga asing tanpa dokumen sah serta penyalahgunaan pas lawatan sosial.

Turut ditahan seorang warga tempatan yang dipercayai bertugas sebagai pegawai sumber manusia di tapak pembinaan terbabit.

“Ketika operasi dijalankan, suasana menjadi kecoh apabila sebahagian pekerja cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam kawasan tapak pembinaan. Namun, tindakan pantas anggota penguatkuasa berjaya menutup semua laluan keluar sekali gus menamatkan cubaan meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati, mereka yang ditahan terdiri daripada 104 lelaki dewasa warganegara Bangladesh, empat Nepal, 21 Indonesia, 13 Pakistan, enam Myanmar dan seorang India, berusia antara 18 hingga 55 tahun,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua warga asing berkenaan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam operasi sama, sebanyak empat keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

JIM Johor menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here