KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelakon Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz menegur pelakon Janna Nick yang didakwa bersikap ‘sinis’ dan berpura-pura neutral dalam memberi pandangan mengenai isu yang menimpa anaknya.
Menerusi satu hantaran di Instagram Puteri Balqis (@morosechild) yang ditujukan terus kepada Janna, Norashikin meluahkan rasa kesal dengan komen yang ditinggalkan oleh pelakon itu di aplikasi Threads.
Memetik laporan Harian Metro, Norashikin mendakwa saranan Janna yang berbunyi ‘Block je lah dia!’ dengan penggunaan tanda seru seolah-olah menunjukkan pelakon itu memihak kepada pihak lawan dan menekan mereka.
“Saya ibu Puteri. Awak tak perlu letak hal kami di Threads dan berpura neutral. Tanda seru itu pun dah menunjukkan awak berpihak pada siapa.
“Nak ambil tahu boleh, tapi ayat-ayat awak lebih kepada menekan kami. Ini bukan neutral. Ini ‘backhanded’. Dan saya sangat sedih dengan ayat-ayat awak,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Norashikin turut menyelar sikap Janna yang didakwa sering ‘menunggang isu’ semasa untuk kelihatan ‘savage’, namun berdiam diri apabila Puteri Balqis menjadi mangsa buli dan fitnah.
Malah, dia turut mengungkit kembali tindakan Janna yang pernah melatah apabila berdepan kecaman netizen sebelum ini.
“Awak baru kena sikit pun dah melalak, sampai junjung al-Quran. Mana ‘savage’ awak pada pembuli? Pada pemfitnah? Hilang? Tiba-tiba jadi ustazah kifarah tu ada? Diam saja. Nanti Tuhan balas?” tulisnya.
Norashikin menegaskan mereka tidak meminta sokongan, namun berpendapat lebih baik Janna berdiam diri jika tiada keperluan untuk bersuara, daripada mengeluarkan kenyataan yang tidak memberi semangat.
Dalam pada itu, Norashikin membandingkan sikap Janna dengan pelakon Sweet Qismina yang disifatkannya sebagai ikhlas dan tidak berpura-pura.
Mengakhiri luahannya, Norashikin mendakwa Janna sebenarnya tidak menyukai Puteri Balqis sejak dahulu lagi dan mengamalkan sikap kroni.
Terdahulu, Janna memuat naik beberapa hantaran di Threads, menyentuh sikap manusia dan menyarankan untuk menyekat sesiapa yang memberi impak negatif kepada kesihatan mental.
“Kita bukan untuk semua orang. Ada yang suka kita, dan ada yang pelik dengan cara kita. Tapi, kita pun sama kan?
“Ada orang yang kita suka, ada orang kita tak boleh masuk. Kalau orang itu jahat dengan kita, dan tak bagus untuk kesihatan mental, ‘block’ (sekat) je lah dia!” tulisnya.
Sebelum itu, Janna juga memuat naik hantaran di platform sama berkaitan perasaan dendam yang dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat.
Janna bagaimanapun tidak menyebut sebarang nama dalam hantarannya.-HMetro Online-
IMedikel TV






