Home Politik UMNO SOKONG KEPUTUSAN KERAJAAN TARIK BALIK PEMBENTANGAN RUU URA

UMNO SOKONG KEPUTUSAN KERAJAAN TARIK BALIK PEMBENTANGAN RUU URA

188
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: UMNO menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, UMNO tidak menentang pembangunan bandar, namun menegaskan RUU URA perlu diperbaiki dan ditambah baik termasuk melalui beberapa pindaan yang perlu diperhalusi, selaras dengan cadangan Jawatankuasa Khas UMNO Mengenai URA yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Jawatankuasa khas berkenaan telah mengadakan beberapa siri libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk menganjurkan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar pada 3 Oktober 2025, yang meluluskan sebanyak 14 syor cadangan penambahbaikan terhadap RUU URA,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan RUU URA hanya wajar dibentangkan semula di Parlimen dalam bentuk baharu selepas semua cadangan penambahbaikan berkenaan diambil kira secara menyeluruh, bagi memastikan kepentingan rakyat khususnya pemilik hartanah di kawasan bandar terus terpelihara.

Semalam, Menteri Komunikasi, yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Jemaah Menteri bersetuju menarik balik RUU URA bagi tujuan penambahbaikan, termasuk beberapa pindaan yang akan diperhalusi sebelum dibincangkan dan dibentangkan semula dalam bentuk baharu di Parlimen.

Terdahulu media melaporkan, Jemaah Menteri bersetuju supaya RUU PSB 2025 ditarik balik untuk ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen.


IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here