Home Luar Negara MAHKAMAH JEPUN BAKAL JATUHKAN HUKUMAN KE ATAS PEMBUNUH BEKAS PM SHINZO ABE

MAHKAMAH JEPUN BAKAL JATUHKAN HUKUMAN KE ATAS PEMBUNUH BEKAS PM SHINZO ABE

148
0

TOKYO: Mahkamah Jepun dijangka membuat keputusan hari ini terhadap Tetsuya Yamagami, lelaki yang dituduh menembak mati bekas perdana menteri, Shinzo Abe pada Julai 2022.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Yamagami, 45, ditangkap di tempat kejadian selepas menembak Abe dengan pistol buatan sendiri ketika pemimpin berusia 67 tahun itu menyampaikan ucapan kempen di bandar barat Nara.

Yamagami memberitahu mahkamah bahawa beliau mengaku membunuh Abe kerana dendam terhadap Gereja Penyatuan.

Menurutnya, sumbangan besar ibunya kepada gereja itu menyebabkan keluarga mereka menghadapi masalah kewangan dan beliau melampiaskan kemarahannya kepada Abe kerana bekas Perdana Menteri itu pernah menghantar mesej video kepada acara yang dianjurkan kumpulan berkaitan gereja.

Keputusan bersalah dijangka pasti selepas Yamagami mengaku membunuh Abe pada sesi pendengaran pertama di Mahkamah Daerah Nara pada Oktober dan perhatian kini tertumpu pada tahap hukuman.

Pendakwaan meminta hukuman penjara seumur hidup bulan lalu, menyifatkan kejadian itu sebagai insiden amat serius yang tiada tandingan dalam sejarah pasca perang.

Namun, peguam mewakili Yamagami pula berhujah bahawa kesulitan keluarga akibat sumbangan kepada Gereja Penyatuan wajar diambil kira dan tempoh penjara maksimum tidak melebihi 20 tahun.

Pembunuhan Abe mengejutkan Jepun kerana beliau adalah pemimpin paling lama berkhidmat dalam sejarah negara, dengan dua penggal dan 3,188 hari sebagai perdana menteri.

Ketiadaannya juga menimbulkan ketidakstabilan politik dalam parti pemerintah, Parti Demokratik Liberal (LDP) dan membawa isu hubungan parti itu dengan Gereja Penyatuan yang kontroversi kepada perhatian umum.

Abe terkenal sebagai pemimpin berpengaruh yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan sering menjadi tokoh penting dalam dasar luar Jepun. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here