BAITULMAQDIS: Israel mendakwa pihaknya membunuh ketua pengeluaran senjata sayap ketenteraan Hamas dalam satu serangan di Semenanjung Gaza, semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, agensi pertahanan awam dan sumber perubatan di wilayah Palestin yang ditadbir Hamas memaklumkan kepada AFP bahawa serangan Israel mengorbankan lima individu di daerah Tel al-Hawa, barat daya Bandar Gaza.
Ketika dihubungi AFP, tentera Israel berkata hanya satu serangan dilancarkan di kawasan berkenaan yang mengorbankan tokoh kanan Hamas, Raad Saad.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, dalam kenyataan bersama berkata bahawa sebagai tindak balas terhadap serangan bom Hamas yang mencederakan tentera Israel di Kawasan Kuning di Semenanjung Gaza pihaknya sudah mengarahkan penyingkiran Raad Saad.
Di bawah perjanjian gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan Hamas di Gaza, tentera Israel berundur ke Garisan Kuning, namun masih menguasai lebih separuh wilayah itu.
Netanyahu dan Katz menyifatkan Saad sebagai antara perancang utama serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza.
Tentera Israel mendakwa Saad adalah ketua ibu pejabat pengeluaran senjata sayap ketenteraan Hamas yang mengetuai usaha pembangunan kekuatan kumpulan berkenaan.
Sumber keluarga mengesahkan kematiannya kepada AFP dan memaklumkan bahawa pengebumian akan diadakan hari ini.
Semalam, tentera Israel berkata dua anggota simpanan cedera ringan akibat letupan bahan letupan ketika operasi membersihkan kawasan daripada infrastruktur pengganas di selatan Gaza.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu berjaya menghentikan pertempuran antara Israel dan Hamas, namun kekal rapuh dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat perjanjian. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






