LONDON: Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengakui mengharungi “48 jam terburuk” sejak menyertai kelab itu walaupun menang 2-0 ke atas Everton di laman sendiri malam tadi, susulan kecewa kerana tidak mendapat banyak sokongan.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, kemenangan itu melonjakkan kelab London berkenaan ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selain menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan dalam semua pertandingan, dengan Cole Palmer menjaringkan gol pada penampilan sulungnya di laman sendiri sejak Ogos lalu.
Namun Maresca jauh daripada berpuas hati, walaupun beliau menegaskan kenyataannya itu bukan ditujukan kepada penyokong Chelsea, selepas musim sulung 2024-25 menyaksikan beliau membimbing The Blues menjuarai Liga Konferens Europa dan Piala Dunia Kelab.
“Tempoh 48 jam terakhir adalah yang paling teruk sejak saya menyertai kelab ini kerana ramai orang tidak menyokong saya dan pasukan,” katanya.
Apabila ditanya sama ada beliau merujuk kepada penyokong Chelsea, Maresca menjawab: “Saya sayangkan penyokong dan kami sangat gembira dengan sokongan mereka.”
Maresca pada awalnya menjawab soalan berkaitan persembahan Malo Gusto, penjaring gol kedua Chelsea, sebelum menyuarakan kekecewaannya terhadap ketiadaan sokongan, tanpa menjelaskan pihak yang dimaksudkan.
Pada sidang media praperlawanan kelmarin, pengurus Chelsea itu menegaskan hanya kemenangan mampu menghentikan rungutan di media sosial, sambil berkata pengalamannya selama berdekad dalam bola sepak mengajarnya “jika anda tidak menang, semua orang akan mengeluh”.
Namun sokongan Maresca terhadap pemainnya tidak berbelah bahagi, khususnya Palmer, selepas mereka menamatkan siri keputusan buruk termasuk kekalahan di tempat lawan kepada Leeds dan Atalanta serta seri tanpa jaringan menentang Bournemouth.
Palmer, pemain tengah menyerang yang sering dibelenggu kecederaan, terlepas aksi Liga Juara-Juara menentang Atalanta Selasa lalu, ketika dalam proses pemulihan selepas dua bulan tersisih akibat kecederaan pangkal paha dan jari kaki, sekali gus menjejaskan momentum cemerlangnya sejak 18 bulan pertama bersama Chelsea.
“Dengan Cole, kami adalah pasukan yang lebih baik,” kata Maresca.
“Saya benar-benar memuji pemain kerana kami sudah mengharungi 16 perlawanan EPL, lima tanpa Moises Caicedo, 11 tanpa Cole Palmer dan hampir sepanjang musim tanpa Liam Delap.
“Tidak kira siapa yang bermain, mereka tetap memberikan aksi hebat.
“Kami hampir sepanjang musim beraksi tanpa pemain terbaik kami. Itulah sebabnya saya amat gembira dengan pemain dan saya mahu pihak luar menghargai perkara itu.” – AFP, BH Online –
IMedikel TV






