Home Sukan TIKET PIALA DUNIA 2026 TETAP DAPAT SAMBUTAN HANGAT

TIKET PIALA DUNIA 2026 TETAP DAPAT SAMBUTAN HANGAT

225
0

LOS ANGELES: Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan menerima lima juta permohonan tiket Piala Dunia 2026 dalam tempoh 24 jam pertama fasa jualan terbaru, meskipun peminat seluruh dunia mengecam harga tiket yang dianggap terlalu tinggi.

Permintaan itu datang daripada peminat di lebih 200 negara dan wilayah melalui FIFA.com bagi edisi pertama Piala Dunia membabitkan 48 pasukan, yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Football Supporters Europe (FSE) pada Khamis meminta FIFA menghentikan segera jualan tiket peruntukan pasukan kebangsaan, menuduh badan induk dunia itu mengenakan harga “mencekik darah” sehingga boleh menidakkan peluang penyokong biasa untuk hadir ke kejohanan.

Menurut FSE, harga tiket meningkat lima kali ganda berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.

Permintaan awal didorong pertembungan berprofil tinggi di peringkat kumpulan, dengan aksi Colombia menentang Portugal di Miami pada 27 Jun menjadi perlawanan paling mendapat permintaan setakat tempoh Undian Pemilihan Rawak itu.

Brazil menentang Maghribi (New York/New Jersey, 13 Jun), Mexico menentang Korea Selatan (Guadalajara, 18 Jun), Ecuador menentang Jerman (New York/New Jersey, 25 Jun) dan Scotland menentang Brazil (Miami, 24 Jun) melengkapkan lima perlawanan paling popular.

Selepas tiga negara tuan rumah, permintaan tertinggi datang daripada pemohon dari Colombia, England, Ecuador, Brazil, Argentina, Scotland, Jerman, Australia, Perancis dan Panama.

FIFA berkata kehadiran besar penyokong dari Amerika Selatan dan Amerika Tengah menunjukkan bagaimana kejohanan itu mencetus keterujaan di seluruh benua terbabit, manakala kedudukan Scotland menggambarkan debaran penyokong negara itu yang layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam 28 tahun.

Fasa Undian Pemilihan Rawak berlangsung sehingga 13 Januari.

Peminat boleh memilih perlawanan tertentu, kategori tiket dan jumlah yang dikehendaki, tertakluk kepada had setiap isi rumah, dan akan dikenakan bayaran secara automatik sekiranya permohonan mereka berjaya. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here