NEW YORK: Hampir 477,000 kanak-kanak di Cuba, Haiti dan Jamaica mengalami gangguan besar dalam pendidikan mereka tiga minggu selepas Taufan Melissa melanda Caribbean, kata seorang jurucakap PBB.
Xinhua melaporkan, dengan banyak sekolah yang rosak atau ditutup, kanak-kanak terpaksa ponteng kelas atau belajar di ruang sementara yang mungkin tidak sesuai untuk pembelajaran yang betul, kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam taklimat harian.
Memetik laporan Xinhua menerusi Berita Harian, sebagai tindak balas, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sedang bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan rakan kongsi untuk menyampaikan bekalan serta cuba membaik pulih sekolah yang rosak, katanya.
Di Cuba, UNICEF menempatkan bekalan awal untuk menjangkau 21,000 pelajar, termasuk kit sekolah, manakala di Haiti, agensi itu telah menyediakan 2,800 kit sekolah, dengan tindakan tambahan dirancang dalam beberapa minggu akan datang, katanya.
Di Jamaica, agensi itu menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran serta sehingga 100 ruang pembelajaran sementara bagi menyokong 10,000 kanak-kanak, kata jurucakap itu.
Taufan Melissa, yang melanda Caribbean pada penghujung bulan lalu, menjejaskan lebih daripada lima juta penduduk di Jamaica, Cuba dan Haiti, menyebabkan kerosakan meluas kepada infrastruktur dan perkhidmatan penting, menurut anggaran PBB. – BERNAMA-XINHUA, BH Online –
IMedikel TV






