Home Buletin Semasa BOMBA BEKAL 150 BOT KOMUNITI TINGKAT TINDAK BALAS AWAL BENCANA BANJIR

BOMBA BEKAL 150 BOT KOMUNITI TINGKAT TINDAK BALAS AWAL BENCANA BANJIR

245
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir dengan membekalkan sebanyak 150 bot komuniti di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi berkata, langkah itu membolehkan penduduk setempat bertindak sebagai responder awal (first responder) sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Bagi negeri Kelantan, sebanyak 11 unit bot komuniti diserahkan untuk kegunaan penduduk di kawasan berisiko.

“Komuniti ini lebih mengenali kawasan masing-masing, termasuk rumah yang mudah tenggelam dan individu yang perlu diselamatkan lebih awal seperti pesakit terlantar, wanita mengandung, orang kurang upaya, warga emas dan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media, selepas lawatan kerja Hari Pengujian Dan Pemeriksaan Logistik Operasi Banjir, di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bot berkenaan bersaiz kecil dan dilengkapi enjin 9.9 kuasa kuda (horsepower), mudah dikendalikan serta tidak memerlukan treler untuk dibawa ke lokasi.

“Bot ini ringan dan boleh diangkut menggunakan kenderaan lain. Kita harapkan komuniti yang dilatih serta dibantu pasukan bomba dapat bergerak lebih awal selepas menerima amaran banjir,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan operasi bencana banjir bukan hanya digerakkan oleh JBPM sebagai agensi tindak balas kecemasan (ERA), sebaliknya turut membabitkan pelbagai jabatan lain yang diselaras oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kerjasama antara agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) amat penting kerana mereka membekalkan maklumat teknikal termasuk data hidrologi, paras air, pasang surut dan taburan hujan, yang kemudian dianalisis bersama maklumat meteorologi dan maklumat lokaliti,” katanya.

Menurut beliau, maklumat lapangan seperti ini penting bagi membolehkan Ketua Balai Bomba di setiap daerah memahami kawasan berisiko dan mengenal pasti ‘hotspot’ banjir dengan lebih tepat.

“Dari segi perancangan, analisis risiko dan rondaan, kita cuba lakukan yang terbaik. InsyaAllah, dengan usaha yang dibuat ini dan bantuan Allah SWT, ia akan memudahkan perkhidmatan kita kepada masyarakat,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here