ISTANBUL: Seorang lelaki Turkiye bersetuju membayar nafkah sebanyak 10,000 lira (kira-kira RM1,340) setiap tiga bulan kepada bekas isterinya bagi menampung perbelanjaan dua kucing peliharaan mereka sebagai sebahagian daripada perjanjian perceraian, lapor Odditycentral.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Bugra B memfailkan perceraian secara persetujuan bersama dengan isterinya, Ezgi B, atas alasan “ketidakserasian serius dan keretakan dalam asas perkahwinan mereka.”
Kedua-dua pihak bersetuju menamatkan perkahwinan tanpa menuntut sebarang pampasan atau alimoni antara satu sama lain, namun mereka memasukkan satu klausa luar biasa dalam dokumen perceraian itu yang berpotensi menjadi rujukan bagi kes perceraian membabitkan pemilik haiwan peliharaan pada masa hadapan.
Dokumen perceraian itu menyatakan bahawa si suami menyerahkan hak penjagaan dua kucing mereka kepada isterinya dan menanggung kewajipan kewangan untuk penjagaan haiwan itu.
“Pihak-pihak bersetuju bahawa dua kucing milik Bugra B akan kekal bersama Ezgi B.
“Selagi kucing itu berada dalam jagaan Ezgi B, dan dalam apa jua keadaan sehingga 10 tahun, Bugra B akan membayar 10,000 lira (kira-kira RM1,340) setiap suku tahun kepada Ezgi B bagi menampung perbelanjaan penjagaan kucing,” menurut penyelesaian perceraian itu.
“Selepas perceraian dimuktamadkan, jumlah bayaran ini akan disemak setiap tahun berdasarkan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI).
Di Turkiye, perjanjian berkenaan dianggap sebagai contoh “nafkah jenis baharu,” yang berpotensi menjadi duluan (precedent) dalam menetapkan sokongan kewangan bagi haiwan peliharaan selepas perceraian. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






