Home Hiburan HELIZA KENANG DETIK GETIR DI PENJARA ISRAEL

HELIZA KENANG DETIK GETIR DI PENJARA ISRAEL

179
0

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi, dikenali sebagai figura yang sentiasa ceria dan tenang, biarpun berdepan situasi genting ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Memetik laporan Berita Harian, namun, di sebalik senyuman dan ketabahan itu, Heliza tidak menafikan ada detik sayu yang sukar dilupakan, terutama ketika dikurung di Penjara Ketziot, Israel.

Ketika itu, beliau dan adiknya, Hazwani Helmi, yang turut menyertai misi berkenaan, dipisahkan antara satu sama lain.

“Petang itu kami terpisah adik-beradik. Saya sangat risau, tertanya-tanya di mana adik saya berada. Dalam hati hanya mampu berdoa, Ya Allah, jagalah adik aku ini.

“Ketika saya mahu solat jamak takhir, Allah tidurkan semua orang dalam sel. Jadi saya gunakan waktu itu untuk berbicara dengan Allah.

“Ketika angkat takbir, saya rasa hati saya pecah. Saya tak mampu tahan air mata, bacaan al-Fatihah pun tersangkut-sangkut. Saya ulang semula sebab saya terfikir, Ya Allah, kalau begini pun sudah mencabar untuk kami yang datang membantu, bagaimana pula penderitaan orang Gaza?

“Penjara itu pun mungkin masih di tanah Palestin. Kami tahu rakyat di sana sedang menunggu kami,” katanya kepada BH Online.

Penerima Anugerah Ikon Alumni Kesukarelawanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu mengakui, hatinya terselit rasa kesal kerana tidak berpeluang bertemu rakyat Palestin yang menanti bantuan mereka.

“Saya doa kepada Allah agar terus diberikan kekuatan seperti semangat orang Palestin yang tidak pernah lelah berjuang. Moga kita juga tidak mudah penat dalam usaha membantu mereka,” katanya.

Walaupun misi GSF tidak kesampaian, Heliza tetap bersyukur kerana kehadiran mereka mencetuskan kesedaran global mengenai kekejaman rejim Israel yang sudah berlarutan sekian lama.

Heliza bukan asing dalam dunia kebajikan. Sebelum ini, penyanyi La Tahzan itu pernah menyertai misi kemanusiaan ke Syria, Russia, Jordan, Bosnia dan Palestin sejak 2012.

Beliau mengakui, walau sering berdepan risiko, hatinya tidak pernah serik untuk kembali ke bumi bergolak itu bagi menyampaikan bantuan.

Apabila berbicara soal syahid dan kematian, Heliza akur dirinya juga manusia biasa yang tidak lari daripada dosa, namun sentiasa memohon agar Allah menjemputnya dalam keadaan terbaik.

“Bagi saya, kalau nak mati, di mana pun kita akan mati. Tapi biarlah kematian itu dalam keadaan Allah reda.

“Dalam misi kemanusiaan ini, Allah betul-betul bagi jiwa kepada saya. Mungkin hasil didikan ibu dan ayah yang sejak kecil membiasakan kami membantu orang di Chow Kit.

“Kalau boleh, semua program lain saya tolak sebab jiwa saya memang di sini. Mereka di Palestin itu keluarga, darah daging dan adik-beradik kita.

“Mudah-mudahan Allah reda, terima amal ibadah kita. Saya banyak kelemahan, tapi saya berdoa agar Allah ambil saya dalam momen terbaik,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here