LONDON: Jadon Sancho berdepan detik paling memalukan dalam kariernya apabila digantikan semula oleh pengurus Aston Villa, Unai Emery ketika menang 1-0 ke atas Manchester City, malam tadi.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pemain sayap England itu yang masih belum tampil dalam kesebelasan utama liga bersama kelab baharunya, hanya bermula di bangku simpanan sebelum dimasukkan pada minit ke-29 menggantikan Emiliano Buendia yang cedera.
Namun Sancho yang ditugaskan di posisi kegemarannya di sayap kiri gagal mencetus impak besar, kecuali satu percubaan jarak dekat yang diselamatkan penjaga gol Gianluigi Donnarumma sejurus babak kedua bermula.
Selepas hanya 45 minit di padang, Emery membuat keputusan mengejut untuk mengeluarkannya semula pada minit ke-74, digantikan oleh Ross Barkley, keputusan yang nyata tidak disenangi Sancho.
Ketika berjalan keluar, Sancho dilihat enggan bersalaman dengan Barkley dan kemudian mengabaikan Emery yang cuba menenangkannya di tepi padang.
Walaupun drama itu mencuri tumpuan, Villa tetap berjaya meraih tiga mata hasil jaringan tunggal Matty Cash pada separuh masa pertama untuk menewaskan bekas juara.
Emery bagaimanapun menegaskan tindakan menggantikan Sancho bukan satu hukuman, sebaliknya sebahagian daripada perancangannya.
“Ia bukan satu keputusan mudah. Sancho bermain 60 minit menentang Go Ahead dalam Liga Europa, dia masih dalam proses memulihkan kecergasan,” jelas Emery.
“Saya memang rancang untuk masukkannya pada babak kedua, tetapi disebabkan kecederaan Buendia, saya terpaksa gunakan dia lebih awal. Dia beri impak yang baik, tetapi saya memang sudah rancang untuk menukarnya.
“Ia bukan hukuman, tetapi sebahagian daripada perancangan. Dia main 45 minit dan pemain lain seperti (Donyell) Malen, (Ian) Maatsen serta Barkley juga bersedia dan bermain dengan baik.”
Sancho kini mengharungi tempoh sukar dalam kariernya sejak berpindah dari Borussia Dortmund ke Manchester United dengan yuran £73 juta (RM410 juta) pada musim panas 2021. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






