Home Buletin Semasa MALAYSIA TEGAS SOKONG PELAN DAMAI GAZA, PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK DENGAN AMERIKA SYARIKAT

MALAYSIA TEGAS SOKONG PELAN DAMAI GAZA, PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK DENGAN AMERIKA SYARIKAT

278
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen teguh Malaysia terhadap pelaksanaan Pelan Damai Gaza, termasuk memastikan laluan bantuan kemanusiaan tidak dihalang serta mempercepatkan proses pembinaan semula wilayah berkenaan demi keadilan dan maruah rakyat Palestin.

Penegasan itu disampaikan beliau dalam sesi mesyuarat dua hala bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, yang diadakan selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja.

“Malaysia akan terus memimpin dengan prinsip, bekerjasama atas dasar saling hormat, memperkukuh perdagangan bebas dan menjunjung keamanan sejagat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI,”katanya memetik kenyataan di Facebook.

Katanya pertemuan itu memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1957, sambil membuka ruang baharu bagi memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan, pertahanan serta teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Amerika Syarikat dalam memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Comprehensive Strategic Partnership, serta dalam menjayakan pelbagai inisiatif serantau termasuk usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara,”katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua delegasi turut menandatangani Framework Agreement on Reciprocal Trade (ART) dan Memorandum of Understanding on Critical Minerals, sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan rantaian bekalan serta manfaat bersama antara kedua-dua negara.

“Saya mendoakan agar hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas kesudian berkunjung ke Malaysia dan atas komitmen beliau dalam mempererat persahabatan antara kedua-dua negara,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here