Home Luar Negara ISRAEL USIR 32 AKTIVIS BANTU PENDUDUK PALESTIN TUAI ZAITUN

ISRAEL USIR 32 AKTIVIS BANTU PENDUDUK PALESTIN TUAI ZAITUN

RAMALLAH: Timbalan Perdana Menteri Israel, Yariv Levin, semalam mengarahkan pengusiran 32 aktivis asing yang membantu penduduk Palestin memetik buah zaitun di Tebing Barat yang diduduki, atas alasan mereka melanggar perintah tentera.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Levin berkata, arahan pengusiran itu dibuat susulan aduan yang dikemukakan oleh Presiden Majlis Penempatan Tebing Barat Utara, Yossi Dagan, yang mendakwa aktivis berkenaan sebagai ‘anarkis yang melakukan provokasi di kawasan Samaria’.

Rudy Schulkind, 30, warganegara Britain yang turut diusir, memberitahu AFP beliau datang ke Tebing Barat untuk menyokong petani Palestin.

Berbanding tahun sebelum ini, beberapa insiden vandalisme dan serangan oleh peneroka Israel berlaku pada musim tuaian zaitun tahun ini.

Aktivis asing lazimnya hadir bagi menghalang kejadian sedemikian di kawasan luar bandar Tebing Barat.


Schulkind berkata, beliau ditahan selama 72 jam oleh pasukan keselamatan Israel sebelum diusir pada 19 Oktober.

“Kami ditahan selepas mereka mengisytiharkan kawasan tempat kami menuai sebagai zon tentera,” katanya, sambil mendakwa taktik itu sering digunakan Israel terhadap penduduk Palestin.

Katanya, kesemua 32 sukarelawan antarabangsa itu ditahan di kebun zaitun berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat.

Schulkind berkata, beliau dan sukarelawan lain ‘tidak pernah dihadapkan ke hadapan hakim’ sepanjang tempoh tahanan mereka.

Levin berkata, arahan pengusiran itu turut ditandatangani bersama oleh Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, dan mendakwa aktivis melanggar perintah komander tentera serta mempunyai kaitan dengan UAWC (Kesatuan Jawatankuasa Kerja Pertanian).

UAWC ialah pertubuhan bukan keuntungan Palestin yang menumpukan kepada pembangunan pertanian.

Israel mengisytiharkan UAWC sebagai pertubuhan pengganas pada 2021, bersama lima lagi NGO lain, dalam keputusan yang dikecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Schulkind tidak mendedahkan organisasi yang diwakilinya, namun penyelidik UAWC merangkap bekas pengarahnya, Fuad Abu Seif, memberitahu AFP, sukarelawan terbabit berada di bawah ‘Kempen Nasional’ yang dianjurkan oleh beberapa NGO Palestin serta Kementerian Pertanian Palestin.

Abu Seif berkata, UAWC ialah ahli kepada kempen berkenaan, namun bukan penganjur utama.

Kementerian Luar Palestin dalam kenyataannya turut mengecam tindakan penahanan itu.-AFP, BH Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here