DEIR AL-BALAH: Ratusan rakyat Palestin berkumpul dalam suasana hiba di bandar Deir al-Balah semalam untuk menghadiri pengebumian besar-besaran bagi 54 individu yang pernah ditahan oleh Israel dan dikembalikan ke Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata terkini.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, menurut pegawai kesihatan Gaza, kesemua mayat yang diterima berada dalam keadaan amat teruk dan tidak dapat dikenal pasti.
Kerosakan fizikal yang dialami dipercayai berpunca daripada penyeksaan dan keganasan semasa dalam tahanan, menjadikan proses pengecaman mustahil dilakukan.
Jenazah terbabit dikebumikan dalam satu liang lahad besar, dengan doa dan tangisan mengiringi setiap tubuh yang dibalut kain putih.
Tiada nama, tiada identiti, hanya angka dan kesedihan yang menyelubungi upacara terbabit.
Pihak berkuasa Gaza berkata, pemulangan mayat itu adalah sebahagian daripada syarat gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin.
Namun, insiden itu telah mencetuskan kemarahan dan tuntutan agar siasatan bebas dijalankan terhadap keadaan tahanan Palestin di penjara Israel.
Menurut laporan rasmi, itu adalah kali pertama sejumlah besar tahanan dikembalikan dalam keadaan tidak dikenali, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai pelanggaran hak asasi manusia dan etika peperangan.-Agensi, BH Online-
IMedikel TV






