KUALA LUMPUR: Tiga beregu lelaki negara mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis 2025 selepas mempamer aksi cemerlang di Glaz Arena, Sesson-Cevigne, awal pagi tadi.
Memetik laporan Berita Harian, gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan beregu Indonesia, Bagas Maulana-Leo Rolly Carnando 21-15, 26-24 dalam pertarungan sengit selama 45 minit.
Kemenangan itu menyaksikan juara dunia 2022 itu akan berdepan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada pusingan kedua malam ini.
Yew Sin-Ee Yi turut melangkah bergaya pada kejohanan bertaraf Super 750 yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$950,000 (RM4 juta) itu selepas menundukkan pasangan India, K Sai Pratheek-PK Roy 21-18, 21-13 dalam masa 37 minit.
Sementara itu, beregu profesional pilihan ketiga kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua apabila bangkit menewaskan gandingan Jepun, Yugo Kobayashi-Takuro Hoki 15-21, 21-19, 21-11 dalam tempoh 52 minit.
Sze Fei-Izzuddin akan berdepan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Han pada pusingan kedua malam ini.-BH Online-
IMedikel TV






