Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 86 warga asing dalam operasi serentak membanteras kegiatan pusat urut haram di sekitar Lembah Klang pada Sabtu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen Malaysia, Basri Othman dalam kenyataannya berkata, operasi selama dua minggu itu digerakkan hasil aduan awam dan risikan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, membabitkan kawasan Klang, Kajang, Seri Kembangan dan Kuala Lumpur.
Seramai 72 pegawai pelbagai pangkat ditugaskan dalam serbuan berkenaan.
“Daripada 146 individu yang diperiksa, seramai 86 warga asing berumur antara 21 hingga 32 tahun ditahan membabitkan 13 warga Myanmar, 21 warga Indonesia, lapan warga Vietnam, empat warga Kemboja, 38 wanita warga Thailand serta masing-masing seorang warga Pakistan dan Filipina.
“Turut ditahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam yang bertindak sebagai penjaga premis.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA dan Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,”katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berkata JIM turut mengeluarkan 19 saman kepada pelanggan yang berada di lokasi ketika serbuan dijalankan.
“Modus operandi pusat urut dan refleksologi ini adalah dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan bagi tujuan menarik pelanggan.
“Siasatan mendapati premis urut terbabit turut menawarkan perkhidmatan seks dan “water bath” dengan bayaran bermula RM230 dan ke atas bergantung kepada perkhidmatan yang dikehendaki pelanggan,’katanya.
Malah beliau berkata ada premis yang turut dijadikan asrama penginapan warga asing yang menyediakan khidmat seks.
“Ketika operasi, ada warga asing menyembunyikan diri dalam ruang tertutup yang diubah suai bagi mengelak ditahan, manakala penjaga premis bertindak melakukan provokasi bagi menghalang tugas penguat kuasa,” katanya.
JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalah guna pas lawatan, malah memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
IMedikel TV






