BRASILIA: Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, dimasukkan ke hospital di ibu negara selepas mengalami gejala kesihatan yang membimbangkan, termasuk muntah berterusan, tekanan darah rendah dan serangan cegukan yang teruk, menurut kenyataan anaknya,
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Bolsonaro, 70, yang kini menjalani tahanan rumah selepas disabitkan bersalah cuba menggulingkan kerajaan susulan kekalahannya dalam pilihan raya 2022, dibenarkan keluar sementara untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Keadaan kesihatannya dilaporkan semakin rapuh sejak insiden tikaman perut yang hampir meragut nyawanya pada tahun 2018.
Menurut laporan media tempatan, beliau sebelum ini telah menjalani prosedur membuang lesi kulit dan menerima rawatan untuk anemia kekurangan zat besi serta tanda-tanda pneumonia aspirasi.
Hospital DF Star di Brasília masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung rawatan terbaharu beliau.
Flávio Bolsonaro menyifatkan kawalan keselamatan terhadap ayahnya sebagai “berlebihan” dan “menghina seorang lelaki jujur”, merujuk kepada konvoi bersenjata yang mengiringi perjalanan ke hospital.
Beliau turut menyelar tindakan pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada “sarkas politik” yang berterusan.
Bolsonaro dijatuhi hukuman penjara selama 27 tahun dan 3 bulan oleh panel hakim Mahkamah Agung Brazil atas cubaan rampasan kuasa, namun hukuman itu belum dilaksanakan sepenuhnya kerana proses rayuan masih berlangsung.
Insiden itu mencetuskan semula perdebatan mengenai kesihatan fizikal dan politik Bolsonaro, serta kemungkinan beliau akan memohon agar hukuman penjara ditukar kepada tahanan rumah atas faktor kesihatan. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






