Home Hiburan ‘FATTMIRA’ RAI DETIK BAHAGIA

‘FATTMIRA’ RAI DETIK BAHAGIA

411
0

Memetik laporan menerusi Harian Metro, bermula sebagai rakan sekerja untuk gimik lagu Bila Nak Kahwin pada awal Januari lalu, kini Fattah Amin akhirnya berjaya ‘menghalalkan’ Amira Othman sebagai isteri yang sah.

Pada Ahad lalu bersempena tarikh lahir Fattah, 14 September untuk meraikan ulang tahun ke-35, pasangan ini selamat dinikahkan dalam acara ijab dan kabul di Golden Palm Tree Bagan Lalang, Sepang.

Majlis bertemakan rona putih itu berlangsung meriah dengan pengantin lelaki membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak wanita.

Menariknya, pembawa dulang Fattah dan Amira adalah sahabat baik mereka antaranya, Bell Ngasri, Alvn Chong, Anzalna Nasir, Ernie Zakri, Qasrina Karim, Hawa Rizwana, Nabila Razali dan Wany Hasrita.

Apa pun, harapan Fattah, 35, dan Amira, 32, untuk majlis ‘raja sehari’ mereka berjalan lancar dan dipermudahkan menjadi kenyataan sebagaimana diimpikan.

Ditemui media selepas majlis pernikahan itu, Fattah berkata, dia amat bersyukur kerana hasrat untuk menjadikan Amira isteri dan teman hidup dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi. Ini semua di atas doa semua orang. Ibu bapa kami, keluarga dan peminat. Semualah yang mendoakan.

“Alhamdulillah malam ini (Ahad lalu) sudah diijabkabulkan, dah diakad dengan semuanya berjalan lancar dan doakan kami menuju syurga,” katanya.

Menurut Fattah segala persiapan untuk majlis pernikahannya dan isteri, Amira dilakukan tidak lama sangat sebab kelapangan masa mereka berdua susah nak dapat.

“Ada jadi kelam-kabut sedikit juga (ketika buat persiapan majlis). Kami pun beli hantaran di saat akhir. Begitu juga banyak ‘arrangement’ kami buat ‘last minute’.

“Tiga ke empat bulan juga kami buat persiapan. Tapi, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar juga,” katanya gembira majlis itu disaksikan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, 5.

Apatah lagi, Fatima atau mesra disapa Nyamma sentiasa dalam pelukan Fattah tanpa mahu berjauhan seketika hingga membuat kebanyakan tetamu sebak.

Betapa rapatnya hubungan kasih sayang anak perempuan dengan bapanya dan Fattah serta Amira juga kelihatan tenang melayan ‘mood’ Fatima walaupun mereka perlu bergambar dengan tetamu di pelamin.

Amira yang juga ditanya kesediaan dirinya menggalas tanggungjawab sebagai isteri berkata, ia adalah satu fasa baharu dalam hidupnya selepas berumah tangga.

“Saya percaya tanggungjawab ini pasti dilalui semua orang yang berkahwin dan ia adalah lumrah. Saya rasa semua orang melalui kehidupan seperti itu (selepas berumah tangga).

“Oleh itu, saya rasa saya juga perlu melalui fasa seterusnya dalam hidup saya. Jadi, kalau orang tanya ‘ready’ (bersedia) ke atau tak ‘ready’ itu, pada saya kita pun tidak tahu.

“Tapi, apa yang pasti, setiap fasa hidup itu dapat dijalani dengan baik. Mudah-mudahan saya dapat menjadi isteri yang baik,” jelasnya.

Pada majlis pernikahan itu, tetamu dihiburkan dengan beberapa lagu oleh kumpulan nasyid Inteam sebagaimana yang diinginkan Amira dalam permintaan istimewanya.

Terdahulu, Fattah dan Amira selamat diijabkabulkan oleh jurunikah, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada jam 9.08 malam dengan sekali lafaz.

Pasangan selebriti popular ini juga dikatakan memilih menjalin percintaan selepas kahwin kerana itu lebih baik di sisi agama, sekali gus mendapat keredaan Yang Maha Esa.

Majlis Ijab Kabul Setulus Takdir: Fattah Amira juga disiarkan secara langsung dan ditonton percuma oleh seluruh rakyat Malaysia menerusi aplikasi Unifi TV 2.0.

Selain itu, Unifi TV juga menyiarkan episod Setulus Takdir: Fattah Amira selepas berkahwin, bulan madu dan pelbagai aktiviti mereka berdua di saluran berkenaan mulai 19 September, jam 9 malam. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here