BILBAO, SEPANYOL: Mikel Arteta menegaskan kepentingan pemain simpanan akan menjadi penentu musim ini selepas Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard muncul wira Arsenal ketika menundukkan Athletic Bilbao 2-0 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara.
Arteta mengakui 20 hingga 25 minit pertama cukup sukar berdepan intensiti permainan lawan, namun perubahan taktikal pada babak kedua membuka jalan kemenangan.
“Separuh masa kedua kami jauh lebih lancar, lebih dominan dan lebih berbahaya. Pada akhirnya, pemain yang masuk dari bangku simpanan memberikan impak untuk kami memenangi perlawanan,” kata Arteta.
Beliau terlebih dahulu memasukkan Leandro Trossard menggantikan Viktor Gyokeres, tetapi kemasukan Martinelli benar-benar mengubah corak serangan The Gunners.
Arteta tidak menyembunyikan rasa kagum terhadap pemain Brazil itu.
“Martinelli memang berhak dipuji. Saya amat mengagumi sikapnya, komitmen, sikap positif dan kesanggupannya berjuang untuk pasukan. Kami hargai semua kualitinya dan hari ini dia menentukan keputusan perlawanan dengan dua aksi penting,” tegas pengendali warga Sepanyol itu.
Arteta menegaskan, musim ini peranan pemain gantian mungkin lebih besar berbanding kesebelasan utama.
“Mereka sekurang-kurangnya sama penting, malah kadang-kadang lebih penting. Kami sudah bincang perkara ini pemain gantian akan lebih penting musim ini kerana mereka mampu ubah permainan bila lawan mula keletihan,” katanya.
Menurutnya, aksi cemerlang Martinelli di San Mames diharap menjadi pencetus keyakinan buat pemain sayap lincah itu.
“Detik-detik seperti ini diharap akan memberikannya keyakinan yang diperlukan,” katanya. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






