Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokthar menjelaskan pihaknya akan meneliti terlebih dahulu setiap kandungan yang dimuat naik di media sosial berkaitan kes yang sedang berjalan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
Beliau berkata, setakat ini adalah terlalu awal untuk membuat tindakan kerana prosiding masih berlangsung.
“Kita akan lihat dahulu kandungan dalam TikTok, Facebook dan platform lain. Semua komen dan pandangan akan dikaji satu persatu sebelum apa-apa tindakan diambil.
“Pendirian kita jelas, biar proses inkues berjalan sepenuhnya. Biarkan proses undang-undang berjalan mengikut saluran dan prosedurnya tanpa campur tangan, tekanan atau terburu-buru. (Let justice take its course). Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti dilihat dilaksanakan,” katanya dalam sidang medi, di sini, hari ini.
Menurut beliau, polemik yang berpanjangan hanya akan menimbulkan persepsi negatif dalam masyarakat.
Justeru, pihaknya berharap prosiding dapat diselesaikan segera, namun tetap mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Kita mahu kes ini diselesaikan dalam tempoh munasabah kerana sudah ada tarikh-tarikh yang ditetapkan.
“Kita hendak selesaikan dalam tempoh yang cepat tetapi tidak boleh terburu-buru kerana jika terlalu cepat, dikhuatiri keadilan dinafikan.
“Harapan kami, biarlah ia selesai dengan baik demi kepentingan semua pihak ini kerana masyarakat keseluruhannya ingin melihat ia berakhir dengan baik,”katanya.
IMedikel TV






