Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Agrobank melancarkan enam unit bank bergerak di Kelantan, Sabah dan Sarawak bagi memudahkan komuniti luar bandar mendapatkan akses perkhidmatan kewangan dengan lebih mudah dan efisien.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata setiap negeri menerima dua unit bank bergerak yang memberi tumpuan kepada kawasan berpopulasi antara 5,000 hingga 10,000 penduduk.
“Inisiatif ini penting untuk membantu masyarakat luar bandar, khususnya mereka yang berdepan kekangan untuk mendapatkan kemudahan perbankan,” katanya pada Majlis Pelancaran Bank Bergerak dan Kampung Angkat Madani di Kampung Pantai Mek Mas, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Tengku Ahmad Badli ramai penduduk pedalaman di Kelantan menghadapi kesukaran kerana terpaksa menempuh jarak sehingga 30 kilometer untuk ke cawangan bank terdekat.
“Di Kelantan, unit bank bergerak ini akan beroperasi di kawasan sekitar Kota Bharu, Jeli, Machang, Bachok dan Kuala Krai.
“Perkhidmatan yang ditawarkan meliputi penyimpanan dan pengeluaran wang, pembukaan akaun simpanan, pendaftaran takaful, pembayaran bil utiliti serta khidmat nasihat pembiayaan,” katanya.
Pada majlis itu, Agrobank turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 kepada 50 keluarga dari Kampung Pantai Mek Mas, Kampung Pantai Kundur dan Kampung Kuala Besar.
IMedikel TV






