Home Buletin Semasa TIADA TUDUHAN BAHARU SEHINGGA PROSIDING INKUES SELESAI – PEGUAM NEGARA

TIADA TUDUHAN BAHARU SEHINGGA PROSIDING INKUES SELESAI – PEGUAM NEGARA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tiada cadangan untuk menuduh mana-mana suspek dalam kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir selagi prosiding inkues masih berjalan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata setakat ini terdapat hanya lima pelajar perempuan yang dituduh baru-baru ini.

“Setakat ini kita tidak bercadang untuk menuduh sesiapa sehingga prosiding inkues selesai.Yang kita teliti hari itu adalah lima pelajar perempuan yang kita tuduh baru-baru ini.

“Selepas inkues selesai kita akan teliti semula dan ia bergantung kepada keputusan inkues yang sedang berjalan di Kota Kinabalu,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Pejabat Peguam Negara 2025, di Padang Awam, Taman Desa Kemumin, Kampung Padang Tembak, di sini, hari ini.

Beliau berkata prosiding kini berada pada peringkat keterangan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Jessie Hu, dan ia berjalan lancar.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di HQE pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, AGC mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.

Prosiding inkues dijadual bermula 3 dan 4 September, sebelum disambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here