Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) terus mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Asia Pacific Enterprise Awards (APEA) 2025 bagi kategori Inspirational Brand, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa sebagai peneraju inovasi wakaf.
Pengiktirafan berprestij itu menjadi bukti komitmen YWM sebagai entiti wakaf kebangsaan yang berperanan memperkasa wakaf dalam membina kesejahteraan masyarakat, mengukuhkan ekonomi ummah dan menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar, berkata anugerah tersebut adalah milik seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi.
“YWM akan terus melangkah ke hadapan dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab wakaf terkemuka dunia dan usaha ini perlu mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Menurutnya kejayaan itu seiring aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai kesejahteraan, keadilan sosial dan kemampanan.
“Melalui inisiatif berterusan di bawah Pelan Al-Falah, YWM bukan sahaja mengurus wakaf sebagai instrumen kewangan Islam, malah memanfaatkannya dalam bidang pendidikan, kesihatan, pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti.
“Setakat ini, YWM telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik seperti pembangunan hartanah wakaf, wakaf pendidikan, wakaf kesihatan, serta menjalin kerjasama pintar bersama sektor awam dan swasta,”katanya.
Pendekatan inovatif itu menjadikan wakaf sebagai pemangkin ekonomi inklusif dan mampan yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Anugerah APEA 2025 bukan sahaja mengiktiraf YWM sebagai jenama inspirasi di rantau Asia Pasifik, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai model unggul dalam mengangkat wakaf ke peringkat global.
IMedikel TV






