LONDON: Lebih 100 anak patung Labubu tiruan dirampas pihak berkuasa di Moray, utara Scotland berikutan “kebimbangan serius terhadap keselamatan,” lapor PA Media/dpa menerusi Harian Metro
Ia produk tiruan kepada anak patung keluaran Pop Mart yang semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi harganya yang mahal mendorong lambakan produk tiruan di pasaran.
Pasukan Penguat Kuasa Standard Perdagangan Majlis Moray merampas mainan itu dari beberapa kedai di pusat bandar Elgin, Moray dan memberi amaran bahawa produk tiruan berkenaan boleh membahayakan kanak-kanak.
Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan mainan itu mempunyai bahagian kecil yang mudah tertanggal dan boleh menyebabkan risiko tercekik, manakala sesetengahnya mempunyai jahitan tidak kemas serta isi kapas terdedah yang boleh meningkatkan risiko lemas.
Beberapa mainan tiruan lain yang dirampas di seluruh negara sebelum ini juga dikesan mengandungi bahan kimia berbahaya.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan dan Perkhidmatan Kawal Selia Majlis Moray, Kaunselor David Gordon berkata, terdapat kebimbangan keselamatan yang ketara dikaitkan dengan mainan tiruan itu.
“Peraturan Keselamatan Mainan diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya berkaitan mainan yang tidak diuji dengan betul, termasuk risiko bahan kimia berbahaya dan tercekik.
“Kedai yang memilih untuk mengabaikan risiko ini dan menjual mainan tidak selamat berdepan rampasan,” katanya.
Anak patung Labubu menjadi fenomena koleksi global apabila peruncit China, Pop Mart memperkenalkannya sebagai mainan koleksi “blind box,” yang mencetuskan trend tular, permintaan tinggi, malah jualan lelongan mewah. – PA Media/dpa, HMetro Online –
IMedikel TV






