CERLER, Sepanyol: Pelumba Sepanyol, Juan Ayuso, melakar kemenangan solo pada peringkat ketujuh Vuelta a Espana, sekali gus menghadiahkan kemenangan ketiga berturut-turut buat pasukan UAE Team Emirates.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Torstein Traen dari Bahrain Victorious kekal menyarung jersi merah selaku pendahulu keseluruhan selepas menamatkan saingan dalam kelompok bersama calon juara keseluruhan, Jonas Vingegaard dan Joao Almeida.
Ayuso sebelum ini tersingkir daripada perebutan gelaran keseluruhan pada Khamis, meskipun disenaraikan sebagai antara pilihan utama sebelum perlumbaan.
Namun, pelumba muda itu menegaskan sejak awal lagi dia tidak mensasarkan gelaran keseluruhan, sebaliknya melakukan serangan awal pada peringkat kali ini.
Mungkin sedikit kecewa kerana tidak dipilih sebagai ketua pasukan menggantikan Almeida, Ayuso menggunakan peluang di laluan berbukit sejauh 188 kilometer dari Andorra La Vella ke Cerler antara peringkat paling mencabar perlumbaan untuk mempamerkan kehebatannya.
Dia menyertai kelompok pendahulu bersama pemenang peringkat enam, Jay Vine, dan Mads Pedersen ketika baki 140 kilometer, dengan Bahrain Victorious dan Traen membiarkan mereka terus berada di hadapan.
Dua kali juara Tour de France, Vingegaard, yang menjadi pilihan utama memenangi perlumbaan, serta pencabar terdekatnya Almeida, kekal selesa di dalam kelompok peloton tanpa memberi tekanan.
“Saya rasa ini antara kemenangan terbaik saya, mengambil kira tahap kesukaran perlumbaan.
“Saya terpaksa mengharungi sejam pertama perlumbaan seorang diri. Saya rasa saya dapat melakukan tugas dengan baik dan menyempurnakannya.
“Ia sangat menakjubkan… menang di Vuelta, ia adalah perlumbaan kegemaran saya. Saya akan sentiasa mengingatinya dan saya sangat berbangga,” kata Ayuso, yang bergerak sendirian sepanjang sejam pertama sebelum menunggu pelumba lain menyertainya membentuk kelompok pendahulu. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






