NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 36 maut dan 20 cedera akibat banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir India ketika rantau Himalaya itu berdepan kemusnahan besar akibat cuaca buruk.
Memetik laporan Bernama menerusi Berita Harian, paras air sungai yang meningkat telah memusnahkan banyak jambatan dan harta benda di seluruh wilayah pergunungan itu, menurut pegawai pada Rabu.
Angka korban tanah runtuh pada Selasa di laluan ziarah Hindu Vaishno Devi meningkat melebihi 30 mangsa pada Rabu.
Ini merupakan bencana kedua menimpa jemaah dalam tempoh beberapa hari selepas dibadai hujan pada 14 Ogos lalu yang memusnahkan kem penziarah di daerah Kishtwar, mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang manakala ramai lagi masih hilang.
Sejak Selasa, sekurang-kurangnya 37 orang maut di daerah Reasi dan Doda.
Jabatan kawalan banjir di rantau itu pada Rabu mengisytiharkan risiko banjir untuk Sungai Jhelum di Lembah Kashmir dan menasihatkan orang ramai untuk menjauhi tebing sungai dan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Banyak struktur turut rosak. Sekolah, tempat kerja dan perniagaan ditutup kerana hujan lebat menenggelamkan jalan, melumpuhkan kehidupan.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk untuk kekal di dalam rumah.
Sejak Isnin malam, wilayah itu mengalami hujan paling lebat dalam beberapa dekad, merosakkan jambatan, menghanyutkan jalan raya dan membanjiri kawasan yang luas, memaksa penduduk berpindah.
“Sekurang-kurangnya 3,500 orang dipindahkan ke tempat yang lebih selamat setakat ini,” kata pegawai.
Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah, pada Rabu melawat beberapa kawasan bencana dan memaklumkan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi serta Menteri Dalam Negeri, Amit Shah mengenai perkembangan semasa susulan hujan lebat berterusan.
Beliau membandingkan kemusnahan itu dengan bencana banjir 2014 di wilayah berkenaan sambil menekankan kekurangan kesiapsiagaan dalam menangani banjir.
“Apa yang kita pelajari daripada banjir 2014? Apakah langkah pembetulan yang telah diambil sepanjang 11 tahun lalu?” soalnya dalam hantaran di platform media sosial X.
Sekolah dan kolej akan kekal ditutup di seluruh Jammu dan Kashmir pada Khamis.
Tentera India telah mengerahkan helikopter untuk menjalankan operasi menyelamat dan bantuan di kawasan terjejas banjir di Punjab dan Jammu.
Di seluruh India, banjir telah meragut banyak nyawa dan menyebabkan kerosakan besar terhadap harta benda serta infrastruktur dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Negeri yang terjejas termasuk Uttarakhand, Himachal Pradesh dan Uttar Pradesh di utara, serta Gujarat dan Maharashtra di barat.
Perkhidmatan penerbangan dan kereta api turut terjejas di beberapa lokasi.
“Keadaan cuaca buruk menangguhkan penerbangan hari ini di Leh. Kami menangguhkan operasi sehingga keadaan membolehkan kami membawa anda terbang dengan selamat dan selesa,” menurut syarikat penerbangan IndiGo dalam satu hantaran di media sosial pada Rabu.
Indian Railways membatalkan perjalanan 18 kereta api ke dan dari stesen kereta api Katra, Udhampur dan Jammu pada Rabu apabila hujan lebat melanda di wilayah Jammu. Beberapa perkhidmatan dipulihkan sejak itu.
Perkhidmatan mudah alih dan internet sebahagiannya dipulihkan selepas hujan lebat menyebabkan gangguan komunikasi, menurut pengendali telekomunikasi.
Kerja pemulihan masih berjalan selepas talian gentian optik rosak di beberapa lokasi. – BERNAMA, BH Online –
IMedikel TV






