KUALA LUMPUR: Biarpun kisah rumah tangga anak menantunya, Marissa Dania Hakim, bersama suami, Ahmad Aslam, kerap menjadi bualan, pelakon dan usahawan, Abby Abadi memilih untuk berdiam diri dan memendam rasa tanpa banyak bicara.
Memetik laporan Berita Harian, menerusi video yang dikongsi di media sosial, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, mengakui hatinya berat untuk berbicara panjang, sebaliknya membiarkan komen-komen netizen menjadi suara yang mewakili isi hatinya.
“Rasanya banyak yang mahu diceritakan… Tapi biarlah komen-komen ini mewakili,” tulisnya.
Menerusi tangkap layar yang dikongsi Abby, ada netizen menasihatkan Marissa supaya meninggalkan kehidupan poligami dan memulakan lembaran baharu.
Malah, tidak kurang juga yang lantang menyuarakan pendapat, pada usia yang masih muda dengan rupa paras menawan, Marissa seharusnya menikmati peluang membina masa depan lebih cerah dan bukannya terikat dengan gelaran isteri nombor dua.
Abby sendiri dilihat bersetuju dengan pandangan itu, malah membalas komen netizen dengan menyarankan agar Marissa mencari jodoh lain, asalkan bukan milik orang.
“Bukan VVIP pun tak mengapa… yang penting bukan suami orang. Buang masa dan rugikan diri sendiri,” luah Abby.
April lalu, Abby sekali lagi mencuri perhatian apabila lantang bersuara mengenai menantunya, termasuk menyangkal kenyataan Aslam yang mendakwa sudah memohon maaf kepadanya.
Ketika itu, Abby meluahkan rasa kecewa kerana merasakan dirinya tidak dihormati sebagai ibu mentua.
Namun, tidak lama selepas itu, Marissa mengambil langkah berani bertemu Abby untuk menjernihkan keadaan yang tegang hampir dua minggu.
Terdahulu, Marissa yang baru berusia 20 tahun mengejutkan ramai apabila selamat bergelar isteri kedua kepada Aslam di Songkla, Thailand, pada Disember 2023.
Ketika itu, Aslam sudah pun beristeri dan memiliki tiga cahaya mata bersama isteri pertamanya, Umisya. – BH Online –
IMedikel TV






