Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) pada 2 hingga 4 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Kedah.
NRES dalam kenyataan semalam memaklumkan lebih 200 delegasi dari 10 negara ASEAN, Timor Leste serta rakan dialog termasuk Kesatuan Eropah, China, Korea Selatan dan Jepun dijangka hadir.
“Penganjuran AMME-18 seiring dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, diadakan bersekali dengan Mesyuarat Ke-20 Committee (COM) Under the Conference of the Parties dan Mesyuarat Ke-20 Conference of the Parties (COP) bagi Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
“Mesyuarat ini bertujuan menyelaras tindakan kolektif negara anggota ASEAN untuk memperkukuh dasar, strategi dan kerjasama serantau. Ia merangkumi perlindungan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber semula jadi secara mampan dan ketahanan terhadap perubahan iklim,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan antara agenda utama ialah penghasilan Kenyataan Bersama ASEAN menjelang Persidangan UNFCCC COP30, kemajuan penubuhan Pusat ASEAN untuk Perubahan Iklim (ACCC) serta pembangunan Pelan Strategik ASEAN Pasca-2025 dan Pelan Tindakan Strategik Perubahan Iklim ASEAN (ACCSAP).
Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada kerjasama dengan rakan dialog dalam bidang alam sekitar, perubahan iklim, perkongsian teknologi dan amalan terbaik.
Selain itu, 6th ASEAN Environmentally Sustainable Cities Award dan 5th Certificate of Recognition (COR) akan disampaikan pada 3 September sebagai pengiktirafan amalan kelestarian alam sekitar negara anggota ASEAN.
Penganjuran AMME kali ini turut menekankan aspek kelestarian selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan Inisiatif ASEAN Lestari (GPPIAL) yang dikeluarkan oleh NRES.
“Ia memberi fokus kepada pengurangan jejak karbon, penggunaan sumber yang cekap dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.
“Malaysia berharap agar inisiatif ini akan membantu mencapai visi ASEAN yang lebih lestari dan inklusif menjelang 2030 selaras dengan ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) Blueprint 2025 dan ASEAN Environmental Framework,”menurut kenyataan.
IMedikel TV






