PETALING JAYA: Pasangan penyanyi, Syamel dan Ernie Zakri yang bakal tampil di acara Konsert Eksklusif Tahun Baharu pada 31 Disember depan meluahkan rasa teruja atas peluang yang diberikan kepada mereka.
Memetik laporan menerusi Harian Metro walaupun pernah tampil berkongsi pentas di acara konsert, acara ini bakal menjadi pengalaman baharu buat mereka.
“Saya amat menantikan peluang untuk bersama peminat dalam suasana yang begitu eksklusif dan peribadi.
“Ini bukan sekadar konsert, ia adalah malam yang membolehkan saya berkongsi kenangan, emosi dan suara hati saya secara langsung kepada semua tetamu yang hadir.
“Persembahan pada acara ini diharap dapat meninggalkan momen yang akan dikenang sampai bila-bila. Semoga yang hadir dapat merasai apa yang saya rasakan dan membawa pulang memori indah,” kata Ernie.
Sementara itu, Syamel tidak sabar untuk memberikan persembahan hebat pada malam bertemakan ‘Nostalgia’ itu.
“Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada mengakhiri tahun dengan mereka yang menghargai muzik saya.
“Konsert ini adalah pentas untuk saya merakamkan rasa syukur, dan saya janji akan berikan yang terbaik malam itu,” katanya.
Tidak hanya pasangan yang popular dengan lagu Aku Cinta itu, tetamu yang akan membeli tiket juga bakal dihiburkan dengan muzik yang disusun oleh DJ Fuzz.
“Selalunya, saya akan lihat dahulu kelompok yang hadir. Jadi, saya akan sediakan lagu-lagu yang sesuai dengan tema ‘Nostalgia’ ini,” kata Fuzz.
Konsert Eksklusif Tahun Baharu ini dianjurkan oleh Hotel Le Meridien Petaling Jaya dan bakal berlangsung di Grand Ballroom hotel itu. – HMetro Online –
IMedikel TV






