Home Luar Negara PENIPUAN DALAM TALIAN MAKIN BERLELUASA DI ASIA TENGGARA – PBB

PENIPUAN DALAM TALIAN MAKIN BERLELUASA DI ASIA TENGGARA – PBB

236
0

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan trend jenayah pemerdagangan manusia semakin membimbangkan, dengan ratusan ribu orang terperangkap dalam pusat penipuan dalam talian di Asia Tenggara.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Ketua Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) PBB, Amy Hope, berkata mangsa sering kali tidak menerima bantuan sebaliknya mereka ditangkap biarpun dipaksa terjebak dengan sesuatu kegiatan jenayah.

“Pemerdagangan adalah krisis hak asasi manusia, tetapi ia lebih daripada itu. Ia adalah perniagaan global besar-besaran yang memupuk rasuah, menimbulkan ketakutan, dan mengeksploitasi golongan paling terdedah.

“Pada masa ini, di seluruh Asia Tenggara, ratusan ribu orang terperangkap dalam kawasan pusat penipuan dalam talian

“Operasi ini dianggarkan menjana pendapatan sebanyak AS$40 bilion (RM170 bilion) setahun, dan ramai daripada mereka yang terperangkap adalah pendatang, pencari kerja muda, kanak-kanak dan individu kurang upaya,” katanya.

Menurut Hope, IOM yang berpangkalan di Geneva berjaya membantu hampir 3,000 mangsa supaya mereka dapat membina semula kehidupan sejak 2022.

Agensi itu membantu membawa pulang individu dari Filipina dan Vietnam, serta menyokong mangsa di Thailand, Myanmar dan negara-negara lain.

Namun begitu, beliau memberi amaran bahawa ramai lagi masih terperangkap.

“Lebih memburukkan keadaan apabila mereka bukan sahaja tidak mendapat bantuan, malah sering ditangkap, didakwa dan dihukum.

“Biar saya jelaskan, tiada siapa patut dipenjarakan atas sesuatu yang mereka dipaksa lakukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan dan masyarakat sivil untuk mengambil tindakan tegas serta mengubah undang-undang kebangsaan agar mangsa pemerdagangan dilindungi, bukannya dihukum.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa memberi tumpuan memburu penjenayah pemerdagangan, bukannya mengejar mangsa yang dipaksa terjebak jenayah itu.

Perang saudara di Myanmar yang tercetus akibat rampasan kuasa pada 2021 mendorong pertumbuhan pesat kilang penipuan internet yang menguntungkan di kawasan sempadannya yang longgar aspek kawalan.

Operasi penipuan siber ini memancing pekerja asing dengan janji pekerjaan bergaji tinggi, namun kemudiannya menahan dan memaksa mereka melakukan penipuan dalam talian.

Ramai mangsa pemerdagangan ini adalah lelaki dari China.

Ramai mangsa mendakwa mereka diperdagangkan ke dalam pusat penipuan yang sering dikawal ketat, untuk menipu mangsa melalui cinta palsu atau pelaburan palsu di media sosial, lalu memancing mereka membuat bayaran dalam mata wang kripto yang tidak dapat dikesan. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here