KHARTOUM: Serangan udara sekali lagi menggegarkan ibu negara Sudan semalam apabila rundingan gencatan senjata terbaru di Jeddah tidak membuahkan hasil.
Sudan terjerumus dalam kancah peperangan pada 15 April lalu membabitkan ketua tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya, yang juga ketua separa tentera Pasukan Tindakan Pantas (RSF), Mohamed Hamdan Daglo, kini seteru utamanya.
Negara Arab di rantau itu juga berbelah bahagi dengan Mesir menyokong Burhan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membelakangi RSF.
Sementara itu, ketiadaan Kaherah dan Abu Dhabi pada rundingan damai di Jeddah memalapkan lagi sebarang harapan keamanan dapat dicapai dalam masa terdekat.
Seorang diplomat Arab Saudi yang enggan dikenali berkata, ini berikutan kedua-dua pihak menganggap diri mereka ‘mampu memenangi pertempuran’.

“Isu gencatan senjata kekal tidak di bawa ke meja rundingan. Setiap pihak percaya ia mampu memenangi pertempuran,” tambah diplomat itu.
Susulan kegagalan rundingan dan pertempuran baharu itu, penduduk di Khartoum semakin ketakutan, sekali gus mencetuskan pemindahan besar-besaran warga asing dan Sudan, menggunakan laluan darat, udara dan laut.
Menurut Projek Data Lokasi Konflik Bersenjata dan Peristiwa, pertempuran di ibu negara dan di bahagian lain Sudan sudah mengorbankan lebih 750 orang dan mencederakan lebih 5,000 lagi.
Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata di wilayah barat Sudan, hampir 200 orang terbunuh di negeri Darfur Barat sejak dua minggu lalu.
“Ini memberi amaran krisis kemanusiaan yang semakin meluas, walaupun kemudahan PBB dan kumpulan bantuan lain menghadapi ‘rompakan berskala besar’, termasuk di Program Makanan Sedunia (WFP) di Khartoum pada hujung minggu lalu.
“Pertempuran menyebabkan 335,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mewujudkan lebih 120,000 pelarian melarikan diri ke utara ke Mesir, ke barat ke Chad, dan ke Sudan Selatan serta tempat lain,” menurut PBB.
Sementara itu, Kementerian Luar Mesir memberi amaran mengenai ‘tragedi kemanusiaan yang hebat’ akibat konflik itu yang ‘secara langsung turut menjejaskan negara jiran Sudan’.
Susulan itu, Arab Saudi mendesak jadual untuk rundingan lanjut dilakukan bagi mencapai usaha menghentikan permusuhan dua pasukan itu serta memudahkan penyampaian bantuan dan memulihkan perkhidmatan asas.
Dalam pada itu, Kesatuan Afrika yang menggantung keahlian Sudan berikutan rampasan kuasa pada 2021 dan blok serantau Afrika Timur IGAD turut mendesak perbincangan yang diketengahkan oleh Presiden Sudan Selatan, Salva Kiir.
Dafaallah al-Haj, yang mewakili Burhan, yang bertemu dengan Kiir di ibu negara Sudan Selatan, Juba semalam, memberitahu pemberita bahawa sebarang inisiatif Arab Saudi dan UAE mesti membabitkan IGAD.
Walaupun tentera Sudan dan RSF bergabung bagi rampasan kuasa Oktober 2021, perebutan kuasa antara Burhan dan Daglo berlaku susulan susl menggabungkan RSF ke dalam angkatan tentera Sudan.
Sumber BH Online & AFP
Imedikel TV






