Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Masalah senggugut menjadi kebiasaan kepada kebanyakan wanita selepas akil baligh.
Ramai yang mengambil mudah berkenaan senggugut kerana itu adalah masalah biasa setiap bulan bagi remaja perempuan dan dewasa.
Namun siapa sangka kesakitan yang dialami setiap bulan itu rupa-rupanya petanda penyakit endometriosis di mana satu keadaan serius yang sering disalah anggap sebagai sakit haid biasa.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, gejala awal endometriosis biasanya bermula dengan rasa ngilu, tetapi lama-kelamaan bertukar menjadi kesakitan yang mencengkam dari dalam setiap kali datang haid.
Malah, ada wanita yang sampai menangis menahan sakit di bilik air atau terpaksa mengambil cuti kerana tidak mampu bangun daripada katil.

Lebih membimbangkan, kesakitan bukan hanya berlaku ketika haid, tetapi turut dirasai semasa membuang air dan ketika hubungan kelamin, sehingga menjejaskan hubungan rumah tangga.
Endometriosis adalah keadaan kesihatan di mana terdapat tisu rahim di luar lapisan dalam rahim.
Dalam kebanyakan kes, tisu ini terdapat di dalam ovari, tiub fallopian, dan bahagian lain di dalam pinggul (pelvis).
Antara kaedah yang digunakan untuk mengesan penyakit ini termasuk:
– Pemeriksaan fizikal dan sejarah simptom pesakit.
– Ultrasound transvaginal atau pelvis bagi mengesan kewujudan sista (cyst) atau keabnormalan lain.
– Laparoskopi, iaitu prosedur pembedahan kecil menggunakan kamera untuk melihat tisu secara langsung – dan dalam sesetengah kes, tisu boleh dirawat serta-merta.

Tanda-tanda endometriosis yang selalu diabaikan:
- Sakit senggugut yang luar biasa
- Sakit ketika membuang air besar atau kecil ketika haid
- Sakit semasa atau selepas hubungan kelamin
- Haid yang sangat banyak atau keluar darah di luar waktu haid
- Keletihan melampau dan sakit belakang berpanjangan
Public Health Malaysia menegaskan, endometriosis bukan penyakit ‘perempuan manja’. Ia adalah kondisi perubatan yang nyata, yang boleh menjejaskan kesuburan dan kualiti hidup wanita jika tidak dirawat dengan betul.
Wanita yang mengalami sakit haid melampau dan berpanjangan disaran agar tidak memendam rasa, sebaliknya segera mendapatkan nasihat doktor pakar untuk diagnosis dan rawatan sewajarnya.
IMedikel TV






