Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Goat Milk Collection Centre (GMCC) Kelantan diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan industri tenusu kambing di negeri ini sekali gus menjadikan Kelantan sebagai hab utama pengeluaran susu kambing di Pantai Timur.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, GMCC berperanan sebagai pusat sehenti bagi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran susu kambing secara piawai serta tersusun.
Katanya, pusat berkenaan turut membuka ruang pasaran yang lebih luas kepada penternak kecil selain menyokong pembangunan produk hiliran seperti yogurt, keju, sabun dan kosmetik berasaskan susu kambing.
“Saya berpeluang menyantuni para penternak dan penggiat industri tenusu dalam Sesi Libat Urus Penternak Kambing Tenusu Kelantan yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Ketereh.
“Dengan adanya sokongan teknologi, kerjasama penyelidikan dan penglibatan agropreneur muda, saya percaya GMCC Kelantan boleh menjadi pusat latihan dan inspirasi kepada negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook semalam.
Tambah beliau, usaha tersebut turut diperkukuh dengan kerjasama erat antara beberapa agensi seperti East Coast Economic Region Development Council (ECERDC), Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan dan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd.
Katanya, sinergi pelbagai pihak itu akan merealisasikan impian menjadikan Kelantan sebagai peneraju industri tenusu kambing di Pantai Timur.
“Semoga dengan kerjasama erat daripada pelbagai pihak dapat merealisasikan impian murni ini bersama.
“Ia sekaligus memacu Kelantan sebagai hub utama pengeluaran susu kambing Pantai Timur,”katanya.
IMedikel TV






