Home Buletin Semasa MALAYSIA TEROKA PASARAN BAHARU MINYAK SAWIT SUSULAN KETEGANGAN GEOPOLITIK

MALAYSIA TEROKA PASARAN BAHARU MINYAK SAWIT SUSULAN KETEGANGAN GEOPOLITIK

297
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Malaysia merancang untuk menembusi pasaran negara-negara baharu yang belum pernah menjadi pengimport minyak sawit keluaran tempatan susulan ketegangan geopolitik yang melanda dunia ketika ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia adalah inisiatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran utama yang terjejas dengan ketegangan geopolitik termasuk konflik Rusia-Ukraine dan Israel-Iran.

“Langkah segera ialah kita akan membuka pasaran untuk mana-mana negara baharu yang belum pernah guna produk kita dan kita akan terokai pasaran tersebut.

“Sebab kita tidak boleh bergantung kepada hanay satu pasaran, jadi sekarang ini kita berdagang hampir 80 negara jadi kita cari negara yang tidak ada peperangan dan kita akan tambah supaya dia membeli produk lebih daripada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Meet & Greet sempena Program Dialog@Kpk bersama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di KPTM, di sini hari ini.

Jelasnya, setakat ini prospek baharu terhadap produk tempatan semakin bertambah dan pihaknya akan memastikan mereka akan menjadi pengimport tetap yang terus menyokong dan menggunakan produk yang dikeluarkan.

Beliau berkata, konflik antara Rusia-Ukraine serta Israel-Iran memberi kesan terhadap prestasi eksport negara yang kini mencecah RM186 bilion setahun.

“Apabila berlaku peperangan, pengimport utama di sekitar kawasan konflik yang terlibat dengan peperangan mungkin tidak berani menerima penghantaran atau kapal kontena tidak dapat masuk ke pelabuhan tertentu.

“Sekiranya kapal tersebut dapat masuk dan hantar, mungkin insurans penghantaran meningkat serta kos sewa kontena melonjak tiga hingga empat kali ganda sehingga kesemua itu akan mempengaruhi harga dan permintaan barangan Malaysia,” katanya.

Tambahnya, walaupun bukan semua kawasan terjejas, ia tetap memberi kesan kepada industri kerana kos meningkat dan keuntungan menurun apabila harga jualan jatuh akibat permintaan berkurang.

“Dalam konteks ekonomi, sudah tentu kita tidak suka peperangan, bila ada konflik global seperti ini, ia memang mendatangkan masalah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here