KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan popular, Nur Fazura Sharifuddin, mengakui belum terlintas mencari pengganti biarpun sudah lapan bulan bergelar ibu tunggal selepas bercerai dengan aktor popular, Fattah Amin.
Memetik laporan Berita Harian, Fazura, 42, berkata meskipun tempoh perpisahan sudah menjangkau lebih setengah tahun, dia berasakan seolah-olah baru sahaja melalui fasa perceraian.
“Saya tak pernah terlintas nak cari pengganti. Saya rasa terlalu awal untuk fikirkan soal ini kerana rasa macam baru bercerai.
“Memang ramai mendoakan saya agar dipertemukan dengan jodoh yang baik dan saya hargai semua doa ini.
“Tetapi, buat masa ini, fokus saya untuk anak, Nur Fatima dan perniagaan yang saya usahakan,” katanya ditemui pada majlis tayangan muzik video lagu Luar Biasa, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, pelakon filem Pisau Cukur itu memaklumkan tiada lelaki yang cuba mendekatinya sejak bergelar ibu tunggal.
“Tak ada pun,” jawabnya ringkas sambil tersenyum.
Tambah penyanyi Bisa Apa itu, dia kini lebih selesa dan tenang menjalani kehidupan sendirian tanpa perlu memikirkan soal pasangan baharu.
“Sejujurnya, saya gembira, tenang dan lega dengan kehidupan sekarang. Saya rasa selesa dengan keadaan ini, walaupun ada bertanya sama ada saya mahu mencari pengganti.
“Buat masa ini, saya lebih tenang begini dan hanya ingin memberi sepenuh perhatian kepada anak dan kerjaya,” ungkapnya lagi.
Fazura dan Fattah bercerai dengan talak satu pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 5. – BH Online –
IMedikel TV






