KUALA LUMPUR: New Zealand menepati ramalan untuk mempertahankan kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut selepas membelasah Pakistan 6-2 pada aksi final Piala Negara-Negara, hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, skuad bimbingan Greg Nicol turun dengan prestasi jauh berbeza berbanding ketika mereka bertemu pada peringkat kumpulan sebelum ini, selepas dilihat begitu garang terutama dalam 30 minit pertama perlawanan.
Sebaik perlawanan dimulakan, New Zealand terus menampilkan intensiti permainan yang sangat agresif dan berjaya membuka tirai jaringan pada minit keenam melalui Scott Cosslett menerusi pukulan sudut penalti.
Pesta jaringan pasukan di ranking ke-10 dunia itu bermula pada suku kedua apabila permainan pantas dan serangan bertali arus membolehkan mereka mendapatkan empat jaringan melalui Sam Hiha (minit ke-15), Dylan Thomas (minit ke-17), Sean Findlay (minit ke-18) dan Scott Boyde (minit ke-27) untuk selesa mendahului 5-0.
Ketinggalan jauh membuatkan Pakistan cuba mengubah corak permainan serta mengurangkan kesilapan mudah dan terpaksa menunggu sehingga minit ke-36 sebelum mendapatkan jaringan pertama menerusi gol padang oleh Zikriya Hayat.
Ketika anak buah Tahir Zaman cuba menambah jaringan, New Zealand mengambil kesempatan itu untuk meledak gol keenam pada minit ke-58 melalui Cosslett menerusi pukulan sudut penalti sebelum Pakistan mendapatkan gol kedua mereka seminit kemudian daripada Sufyan Khan minit ke-59. -HMetro Online-
IMedikel TV






