MANCHESTER: Bekas pengendali Manchester United, Louis van Gaal menyelar amalan pengambilan pemain di kelab berkenaan.
Van Gaal tiba di Old Trafford pada musim panas 2014, dan ditugaskan untuk membangunkan semula kelab selepas David Moyes hanya bertahan 10 bulan di kerusi panas yang ditinggalkan Alex Ferguson.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pengendali dari Belanda itu sempat bertahan dua tahun di United sebelum dipecat hanya beberapa hari selepas pasukannya menewaskan Crystal Palace untuk menjuarai Piala FA.
Ketika United dalam persiapan menghadapi satu lagi jendela perpindahan musim panas selepas penamat terburuk dalam kempen Liga Perdana Inggeris, Van Gaal berkata kurangnya kerjasama dalam pengambilan pemain antara punca prestasi bergelut di atas padang.
“Mereka adalah kelab komersial, bukan kelab bola sepak. Saya pernah katakannya sebelum ini dan ia memang sukar. Apabila bukan pengurus yang memutuskan pemain mana perlu dibawa masuk, ia sangat sukar,” kata Van Gaal.
Ketika ditanya adakah dia percaya pengurus sepatutnya mempunyai kuasa ke atas perpindahan pemain, Van Gaal itu satu-satunya cara jika mahu menilai prestasi sebenar seseorang pengurus.
“Saya rasa itu cara sepatutnya. Kerana anda boleh memecat pengurus jika keputusan tidak memberangsangkan. Tetapi apabila orang lain yang membeli pemain, anda akan bermasalah.
“Anda perlu mempunyai pengetahuan sebagai seorang pengurus, orientasinya, kerana dia yang perlu melatih mereka,” katanya.
Bekas pengendali Belanda itu berpendapat, United perlu mengikut pendekatan seteru tradisi mereka, Liverpool dalam pasaran perpindahan.
Dia berkata: “Arne Slot memberitahu pengurus teknikalnya yang dia perlu membeli pemain ini.”
Van Gaal sendiri pernah kecewa dalam aktiviti perpindahan di United. Walaupun berbelanja besar untuk mendapatkan Ander Herrera, Luke Shaw, Marcos Rojo, Radamel Falcao, Daley Blind, dan Angel Di Maria pada musim panas pertamanya, pengendali berusia 73 tahun itu terkilan kerana sasaran utamanya gagal ditandatangani. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






