Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, hari ini meluahkan rasa simpati dan dukacita susulan tragedi kemalangan jalan raya yang meragut 15 nyawa di di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Perak, awal pagi tadi.
Dalam hantaran beliau di media sosial, insiden yang membabitkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah Perodua Alza itu disifatkan sebagai tragedi yang mengundang kesedihan seluruh negara.
“Saya amat bersimpati dan tersentuh dengan insiden kemalangan jalan raya itu yang membabitkan pelajar-pelajar UPSI dan mangsa lain. Ia sudah meragut nyawa anak-anak muda yang sedang menuntut ilmu demi masa depan mereka, keluarga, agama dan negara.
“Mereka adalah permata harapan bangsa, dan kehilangan mereka adalah satu kehilangan besar buat kita semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dan seluruh rakyat negeri ini, merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.
“Semoga keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan oleh Allah SWT dalam menghadapi ujian ini. Kepada mereka yang tercedera, saya doakan agar diberi kesembuhan yang segera dan sempurna,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu, sebuah bas yang membawa 44 penumpang termasuk 42 pelajar UPSI dilaporkan terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi, manakala sebuah Perodua Alza terbabas ke dalam parit dalam kemalangan sama.
IMedikel TV






