Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Kentut sering menjadi topik gurauan dan rasa malu dalam kalangan masyarakat. Namun menurut perkongsian daripada Public Health Malaysia di laman sosial, kentut sebenarnya adalah salah satu penanda usus yang sihat dan sebahagian daripada proses fisiologi tubuh yang normal.
Dalam satu hantaran yang tular, mereka menyenaraikan 11 fakta mengejutkan dan penting berkaitan kentut dan kaitannya dengan kesihatan sistem pencernaan.
1. Kentut antara 10 hingga 25 kali sehari adalah normal
– Ini menandakan usus aktif dan bakteria baik di dalam sistem pencernaan sedang berfungsi dengan baik.
2. Hampir semua kentut tidak berbau
– Sekitar 99 peratus komposisi gas terdiri daripada nitrogen, oksigen, karbon dioksida dan metana, kesemuanya tidak berbau.

3. Bau busuk datang daripada gas sulfur
– Makanan tinggi sulfur seperti telur, daging merah dan bawang menyumbang kepada penghasilan hidrogen sulfida, punca utama bau yang kurang menyenangkan.
4. Kentut berlaku walaupun ketika tidur
– Otot lebih relaks sewaktu tidur dan usus tetap bergerak, menyebabkan pelepasan gas secara tidak sedar.
5. Kentut senyap selalunya lebih busuk
– Ini kerana ia keluar perlahan, membolehkan gas sulfur berkumpul lebih lama.
6. Kentut tak berbau sering berpunca daripada udara tertelan
– Minum menggunakan straw, makan terlalu laju atau bercakap ketika makan boleh menyebabkan udara masuk ke dalam sistem pencernaan.
7. Wanita kentut sama banyak seperti lelaki
– Stereotaip bahawa wanita kurang kentut adalah mitos. Bezanya, wanita cenderung menahan atau melepaskan gas dengan lebih senyap.
8. Kentut berlebihan mungkin petanda masalah kesihatan
– Contohnya, intoleransi laktosa, sindrom usus rengsa (IBS), atau sembelit boleh menyebabkan peningkatan penghasilan gas.
9. Diet tinggi serat tingkatkan penghasilan gas
– Serat tidak dicerna sepenuhnya di usus kecil, lalu ditapai oleh bakteria di usus besar dan menghasilkan gas.
10. Menahan kentut terlalu lama boleh timbulkan ketidakselesaan
– Gas boleh naik ke atas, menyebabkan rasa kembung, sendawa berlebihan, dan tekanan dalam perut.
11. Tekanan emosi mempengaruhi corak kentut
– Stres boleh mengganggu pergerakan usus dan mempercepatkan atau memperlahankan pengeluaran gas.
Menurut Public Health Malaysia, kentut sebanyak 10 hingga 20 kali sehari adalah normal dan sihat.

Adakah anda tahu, apa akan terjadi jika anda tidak kentut langsung.
- Perut rasa kembung
- Sembelit atau loya
- Sakit perut dan kekejangan
- Gangguan emosi dan ketidakselesaan sosial
Kentut bukan sesuatu yang harus dianggap memalukan, sebaliknya satu isyarat bahawa sistem pencernaan berfungsi dengan baik.
Menahan kentut bukan sahaja tidak selesa, tetapi boleh memberi kesan kepada kesihatan jika kerap dilakukan.
Masyarakat disaran untuk memahami fungsi tubuh sendiri dengan lebih terbuka dan tidak lagi menganggap kentut sebagai sesuatu yang negatif atau tabu.
IMedikel TV






