PARIS: Jika Julian Alvarez tergelincir semasa mengambil sepakan penalti buat Atletico Madrid pada Piala Dunia Kelab bulan ini, dia kini akan diberi peluang kedua – berbeza dengan apa yang berlaku dalam Liga Juara-Juara pada Mac lalu – selepas badan penggubal undang-undang bola sepak antarabangsa menjelaskan peraturan sentuhan dua kali semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), badan yang menggubal peraturan bola sepak dunia, mengumumkan jika pemain secara tidak sengaja menyentuh bola dua kali ketika mengambil sepakan penalti dan jaringan masih berlaku, sepakan itu harus diulang.
Alvarez tergelincir ketika mengambil penalti dalam penentuan sepakan penalti menentang Real Madrid pada aksi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Semakan video (VAR) mendapati dia menyentuh bola dua kali, lalu pengadil membatalkan jaringan berdasarkan Undang-undang 14, yang merangkumi sepakan penalti. Real kemudian memenangi penalti penentuan itu 4-2.
Selepas perlawanan itu, badan induk bola sepak Eropah, UEFA berkata “di bawah peraturan semasa, VAR perlu memanggil pengadil untuk memaklumkan gol itu perlu dibatalkan.”
UEFA turut menyatakan mereka akan mengadakan perbincangan dengan FIFA dan IFAB bagi membincangkan isu itu.
Semalam, IFAB mengeluarkan keputusan rasmi. Walaupun perubahan itu dijadual dikuatkuasakan pada 1 Julai, FIFA mengumumkan ia akan berkuat kuasa lebih awal sempena Piala Dunia Kelab yang bermula 15 Jun di Amerika Syarikat – dengan kedua-dua kelab Madrid menyertai kejohanan 32 pasukan itu.
UEFA juga menerima pakai perubahan itu, menyatakan “semua perlawanan UEFA, bermula dengan separuh akhir Liga negara-Negara UEFA antara Jerman dan Portugal pada 4 Jun 2025 akan dilaksanakan di bawah tafsiran baharu Undang-undang 14.”
Setiausaha IFAB, Lukas Brud menulis dalam satu pekeliling: “Oleh kerana situasi ini tidak dinyatakan secara langsung dalam Undang-undang 14, pengadil cenderung menghukum pemain kerana menyentuh bola semula.”
Namun begitu, undang-undang itu “sebenarnya bertujuan bagi situasi yang mana pemain dengan sengaja menyentuh bola kali kedua sebelum disentuh pemain lain.”
“Ini amat berbeza dengan pemain yang secara tidak sengaja menyentuh bola dua kali disebabkan tergelincir,” katanya.
Brud turut mengakui sentuhan kedua yang tidak disengajakan juga boleh menjejaskan penjaga gol kerana ia mengubah arah bola.
Oleh itu, katanya IFAB memutuskan: “Jika sepakan itu menghasilkan gol, ia akan diulang.” – AFP, BH Online –
IMedikel TV






