Home Luar Negara HOSPITAL NASSER JADI SASARAN TERBAHARU ISRAEL, DAKWA LOKASI KUBU HAMAS

HOSPITAL NASSER JADI SASARAN TERBAHARU ISRAEL, DAKWA LOKASI KUBU HAMAS

264
0

BAITULMAQDIS: Tentera Israel melancarkan serangan terbaharu semalam ke atas sebuah hospital di selatan Gaza yang mengorbankan dua individu, termasuk seorang wartawan dan mencederakan beberapa yang lain serta mencetuskan kebakaran bangunan.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian serangan berkenaan berlaku hanya beberapa hari selepas kemudahan itu dipenuhi mangsa terkorban dan cedera akibat gelombang serangan udara Israel yang menyambung semula kempen ketenteraan minggu lalu.

Menerusi satu hantaran di Telegram, rejim Zionis mendakwa kumpulan pejuang Hamas beroperasi di kawasan Hospital Nasser di Khan Younis, bandar utama di selatan Gaza sambil menuduh kumpulan itu menyembunyikan operasi di kawasan padat penduduk.

Pada masa sama, Israel turut menyalahkan hamas atas kematian orang awam, dengan mendakwa bahawa kehadiran mereka di kawasan awam menjadikan penduduk sebagai perisai manusia, sekali gus menyukarkan operasi ketenteraan tanpa risiko korban awam.

“Kompleks itu digunakan oleh pejuang Hamas untuk merancang dan melaksanakan serangan pengganas terhadap orang awam Israel dan pasukan pertahanan Israel (IDF),” katanya.

Sepanjang konflik, Hospital Nasser sudah beberapa kali mengalami kerosakan akibat serangan dan serbuan tentera Israel, menjadikannya antara kemudahan kesihatan paling terjejas di Gaza.

Israel sebelum ini menghentikan operasi ketenteraan di Gaza bagi membolehkan pembebasan Edan Alexander, seorang askar AS-Israel berusia 21 tahun yang dijadikan tebusan sejak Oktober 2023.

Serangan ketenteraan disambung semula di Gaza pada 18 Mac selepas gencatan senjata selama dua bulan dalam perang menentang Hamas yang tercetus susulan serangan kumpulan Palestin itu pada Oktober 2023.

Serangan ke atas selatan Israel itu mengorbankan 1,218 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir oleh Hamas semalam memaklumkan sekurang-kurangnya 2,749 orang terbunuh sejak Israel melancarkan semula kempen ketenteraannya, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak peperangan bermula mencecah 52,862 orang. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here