Home Luar Negara KEBANYAKAN PUSAT KETENTERAAN HIZBULLAH KINI DIKAWAL TENTERA LUBNAN

KEBANYAKAN PUSAT KETENTERAAN HIZBULLAH KINI DIKAWAL TENTERA LUBNAN

BEIRUT: Kebanyakan pusat ketenteraan milik Hizbullah di selatan Lubnan kini berada di bawah kawalan tentera, menurut satu sumber yang rapat dengan kumpulan itu semalam.

Gencatan senjata pada 27 November yang menamatkan lebih setahun konflik antara Hizbullah dan Israel, termasuk dua bulan peperangan besar-besaran, menetapkan hanya pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tentera Lubnan dibenarkan dikerahkan di selatan.

Perjanjian itu turut meminta kumpulan pejuang disokong Iran itu merobohkan semua infrastruktur ketenteraannya yang masih ada di selatan dan memindahkan pejuangnya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.

“Daripada 265 pusat ketenteraan Hizbullah yang dikenal pasti di selatan Litani, kumpulan itu sudah menyerahkan kira-kira 190 kepada tentera,” kata sumber berkenaan yang enggan dikenali.

Mengikut gencatan senjata terbabit, Israel sepatutnya mengundurkan tenteranya dari Lubnan sebelum 18 Februari, selepas gagal memenuhi tarikh akhir pada Januari.

Bagaimanapun, Israel masih mengekalkan tentera di lima lokasi yang dianggapnya strategik.

Namun, Israel terus melancarkan serangan terhadap infrastruktur milik Hizbullah atau anggota kumpulan itu di Lubnan.

Dalam ucapan sempena ulang tahun tercetusnya perang saudara Lubnan pada 1975 hingga 1990, Presiden Joseph Aoun sekali lagi menggesa Hizbullah untuk menghentikan kegiatan bersenjata.

“Kerana kita semua sebulat suara percaya bahawa sebarang pemilikan senjata di luar kuasa negara… akan membahayakan kepentingan Lubnan,

“Maka sudah tiba masanya untuk kita semua berkata ‘Lubnan hanya boleh dipertahankan oleh negara, tentera dan pasukan keselamatan,'” katanya.

Timbalan utusan khas Amerika Syarikat (AS) ke Timur Tengah, Morgan Ortagus, sudah berbincang mengenai perlucutan senjata Hizbullah bersama pemimpin kanan Lubnan ketika lawatannya ke Beirut hujung minggu lalu, kata seorang pegawai Lubnan.

Dalam satu temu bual bersama saluran televisyen Lubnan, Ortagus berkata: “Kami terus mendesak kerajaan ini untuk melaksanakan sepenuhnya pemberhentian permusuhan, termasuk perlucutan senjata Hizbullah dan semua kumpulan bersenjata tidak rasmi (militia)”.

Beliau berkata perkara itu harus dilakukan secepat mungkin. AS mengetuai sebuah jawatankuasa yang turut disertai Perancis, bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata berkenaan.

Berikutan serangan oleh pejuang Hamas dari Gaza terhadap Israel pada Oktober 2023, Hizbullah mula melancarkan serangan ke utara Israel sebagai sokongan kepada rakyat Palestin.

Kejadian berbalas tembakan rentas sempadan selama beberapa bulan bersama tentera Israel akhirnya bertukar menjadi peperangan sepenuhnya pada September lalu, menyebabkan Hizbullah mengalami ‘kehilangan’ yang ketara.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, lebih 4,000 orang terbunuh dalam konflik terbabit. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here