Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan negeri Kelantan mahupun Terengganu sebagaimana menjadi perdebatan rakyat sebelum ini.
Beliau berkata, ia sama sekali tidak benar malah beliau menghormati dan menerima baik persahabatan yang dianjurkan oleh Kerajaan Kelantan.
Katanya, pemberian peruntukan kepada Kelantan pada tahun lalu meningkat 30 peratus iaitu RM762 juta berbanding RM588 juta pada 2023.
“Di Terengganu pula kenaikan adalah sebanyak 28 peratus iaitu RM2.02 bilion pada tahun lepas berbanding RM1.57 bilion tahun 2023.
“Peningkatan itu merangkumi pemberian seperti Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP), geran per kapita, wang ihsan dan peruntukan bawah senarai bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan, di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk tidak memberi pertimbangan terhadap Kerajaan Kelantan walaupun perbezaan politik.
“Peruntukan pembangunan untuk Kelantan bagi tahun ini meningkat dua kali ganda kepada RM3.19 bilion berbanding hanya RM1.55 bilion pada 2022.
“Walaupun Kerajaan Persekutuan tidak sama dalam beberapa perkara dengan Kelantan tapi jangan kata tidak ada peruntukan kerana kita bagi dua kali ganda.
“Ini kerana pembangunan di Kelantan tertinggal dari segi masalah banir, air, jalan, kemiskinan, ini yang kita tekankan jadi saya harap hal ini boleh difahami,” katanya.
Menurutnya, peruntukan tersebut adalah termasuk kegunaan untuk pembinaan jalan termasuk meneruskan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama iaitu sebanyak RM1 bilion manakala RM500 juta untuk projek air seperti Loji Rawatan Air Machang, RM100 juta untuk program Rumah Mesra Rakyat dan bantuan rumah.
Tambahnya, bagi pekebun kecil getah di bawah Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah pula diberi peruntukan sebanyak RM50 juta.
“Bagi membasmi kemiskinan pula, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM25 juta untuk Kelantan dan RM60 juta untuk Terengganu bagi tahun 2025,” katanya.
IMedikel TV






