Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas sebanyak 1.2 juta batang rokok putih ketika melakukan serbuan di tebing sungai Pengkalan Ekor Pasir Tendong, Pasir Mas kira-kira jam 8 pagi, pada Selasa lalu.
Pengarah Maritim Kelantan, Erwan Shah Soahdi berkata, dalam serbuan menerusi Op Naga, pihak maritim menahan seorang lelaki berusia 24 tahun selain lima buah kenderaan yang berisi rokok putih dan dua motosikal yang ditinggalkan.
Katanya, kesemua rokok terbabit dipercayai diseludup dari Thailand membabitkan nilai hampir sebanyak RM1 juta termasuk tujuh buah kenderaan
“Hasil maklumat kita dapati satu bot pancung yang agak laju telah lalu di muara sungai Kelantan pada jam 4.20 pagi, kita gerakkan bot peronda dan menuju ke muara untuk membuat pencarian.
“Pada jam 6.34 pagi, kita dapat jumpa longgokan rokok yang telah ditinggalkan di tepi sungai.
“Sebanyak 120 peti rokok putih bersamaan 1.2 juta batang rokok yang telah ditinggalkan bersama dengan lima kenderaan kereta dan dua kenderaan motosikal,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, di sini, hari ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Akta Kastam 1967 Seksyen 135 (E).
Menurutnya, lokasi terpencil yang dipilih sindiket bagi melakukan pendaratan dikesan adalah taktik terbaru sindiket berbanding sebelum ini iaitu menggunakan lokasi pesisir pantai.
Katanya Maritim Malaysia Kelantan terus komited menjalankan tanggungjawab dalam usaha memastikan perairan negara bebas daripada ancaman penyeludupan dan jenayah maritim.
IMedikel TV






