Home Buletin Semasa BEKAS TENTERA TERIMA TEMPAHAN 7,000 BATANG LEMANG TONG DRAM SEMPENA SYAWAL

BEKAS TENTERA TERIMA TEMPAHAN 7,000 BATANG LEMANG TONG DRAM SEMPENA SYAWAL

261
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Seorang bekas tentera melakukan inovasi lemang dibakar dalam tong dram yang mendorong permintaan 7,000 batang bermula sejak minggu lalu hingga 1 Syawal nanti.

Pengusaha lemang tong dram, Jeffrey Abdullah, 44, berkata, dia bersama isteri, Nur Sabrina Zakaria, 41, dan 17 pekerja secara tidak langsung membolehkan perusahaan itu membantu anak-anak muda terutama yang mencari pendapatan bagi kegunaan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Pembuatan dan jualan lemang tong dram yang berlangsung berdekatan Masjid Padang Pak Amat, di sini mendapat sambutan luar biasa setiap kali tibanya Aidilfitri.

“Saya mula mencipta lemang dibakar dalam tong dram ini semasa menjadi tentera yang perlu berhadapan dengan latihan dan berdikari untuk makan di hutan pada tahun 2000,” katanya kepada pemberita, semalam.

Jelasnya, usaha jualan bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 di Kampung Pak Badol, Mahligai, Bachok dan dari situlah pelanggan mula kenal dan setiap tahun mendapat tempahan sangat menggalakkan.

Jeffrey berkata apa yang menjadikan lemang tong dram dihasilkan ialah rasa sedap dengan aroma daun pisang hutan dan buluh asli dari Jeli digunakan khas untuk pembuatan lemang berkenaan.

Menurutnya lemang itu diproses menggunakan tiga bahan asas iaitu beras pulut, santan kelapa dan garam, kemudiannya dicampur sehingga sebati sebelum dimasukkan ke dalam buluh yang bersih dengan daun pisang hutan digulung ke dalamnya.

“Dalam satu tong dram, kira-kira 30 hingga 32 batang boleh dimasukkan dan dibakar hanya 20 hingga 30 minit sahaja dengan kawalan api perlu dijaga supaya tidak hangus, sebaik masak, lemang ini kemudiannya disalai menggunakan arang supaya lebih sekata masak.

“Saya menyediakan 20 tong dram bagi membakar lemang yang boleh masak 600 batang dalam tempoh setengah jam sahaja,” katanya.

Tambahnya, apa yang istimewa bagi lemang tong dram ialah ia jimat masa tanpa pelanggan perlu tunggu kerana sekiranya lemang dibakar biasa, ia mengambil masa dua jam, juga masak sekata.

Katanya, dia menggunakan konsep ketuhar dibina daripada tong dram yang membolehkan kadar masak lemang adalah 100 peratus, malah bara api diikat pada jaringan besi bagi membolehkannya mudah dialih ke tong dram lain apabila api terlalu panas atau lemang sudah masak.

Jeffrey berkata dapur tong dramnya pernah mendapat perhatian daripada pembuat lemang negeri lain termasuk Pulau Pinang dan mereka membelinya untuk meniaga lemang tong dram di sana.

Dia berkata Sabtu nanti, pasangan suami isteri dan pekerjanya pastinya sibuk menyiapkan tempahan lemang tong dram yang dijual dari harga RM15 hingga RM20, bergantung kepada saiz buluh.

“Kita memang menyediakan lemang ini dicicah dengan manisan cair, tetapi rendang ayam juga turut dijual dengan harga RM10 untuk satu bekas,” katanya yang mempunyai tujuh anak.

Katanya lemang tersebut turut mendapat perhatian beberapa artis dikir barat tempatan termasuk Man Khan, Aris Kapilla dan Poyie Gasi yang sering singgah membeli di kedainya setiap kali Ramadan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here