Home Hiburan LANGKAUI DRAMA RAYA BIASA

LANGKAUI DRAMA RAYA BIASA

Di saat pelbagai video, iklan dan drama Aidilfitri diterbitkan dengan tema perayaan, Suria FM tampil dengan sebuah karya istimewa sempena Aidilfitri 2025.

Drama raya berjudul Hayati bukan sekadar hiburan di musim perayaan, tetapi sebuah naskhah yang menyentuh jiwa dengan tema kesihatan mental dan perjalanan emosi individu yang berhadapan dengan kehilangan dan keampunan diri.

Mengangkat genre psikologi emosional raya, Hayati membawa naratif yang lebih mendalam, melangkaui kebiasaan drama raya yang sering mengetengahkan tema kekeluargaan dalam suasana ceria.

Menurut Pengurus Besarnya, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, Hayati adalah salah satu projek terbesar mereka setakat ini.

Katanya, penggambaran yang berlangsung selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang membabitkan lebih 100 individu, termasuk pelakon dan kru produksi.

“Sejak 2019 sehingga kini, kami menerbitkan tujuh drama raya. Penghasilan drama raya Hayati tahun ini adalah projek terbesar yang pernah dihasilkan dari sudut skala dan tempoh penggambaran.

“Drama ini menjalani penggambaran selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang, dengan sebahagian besar babak dirakam pada waktu malam hingga awal pagi,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang proses penggambaran, DJ Lin berkata, ada beberapa faktor yang benar-benar mencabar.

“Antara cabaran terbesar adalah penggambaran yang membabitkan babak bas, yang memerlukan masa tiga hari untuk diselesaikan. Keadaan cuaca yang tidak menentu juga memberi cabaran sepanjang proses penggambaran dilakukan.

“Meskipun begitu, tenaga produksi tetap komited dengan lebih daripada 100 individu terdiri daripada pelakon dan kru yang terbabit secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Drama berdurasi 40 minit ini mengisahkan bagaimana sebuah kemalangan tragis pada malam raya mengubah kehidupan beberapa individu. Dalam perjalanan mereka untuk menerima kenyataan, batas antara realiti dan imaginasi menjadi kabur, mencetuskan konflik dalaman yang mencengkam.

Perasaan bersalah, kesedihan dan usaha untuk memaafkan diri sendiri menjadi inti pati utama dalam penceritaan Hayati. Ini bukan sekadar kisah duka, tetapi sebuah perjalanan penyembuhan, di mana setiap individu perlu menemukan kekuatan dalam diri untuk terus melangkah ke hadapan.

Diterbitkan dengan kerjasama Yaya Empire Perfume, Hayati menampilkan barisan pelakon yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berpengalaman dalam membawa emosi berat ke layar.

Nama besar seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan dan Hawra Jamalullail membintangi drama ini.

Turut serta, penyanyi terkenal Ara Johari, Adam ZBP serta pempengaruh popular, Mia Azahar menjadikan drama ini lebih dekat dengan pelbagai lapisan penonton.

Lebih istimewa, pengasas Yaya Empire Perfume, Nadia Mat Isa turut membuat kemunculan khas, memberikan sentuhan peribadi kepada produksi ini. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here