Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, Khamis lalu atas pertuduhan memukul ejen perumahan sehingga cedera parah di Pasir Tumboh, 12 Feb lepas.
Tertuduh, Mohamad Syahril Md Aziz, 45, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Abdullah Abdul Rahman, 43,
menggunakan sebatang kayu.
Kejadian berlaku di tapak kerja iaitu di tapak tangki Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh, di sini pada 10.45 pagi, 12 Februari lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Marini Mohamad, manakala tertuduh diwakili Peguam Lt Kol (B) Azhar Ahmad.
Terdahulu, Marini menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh memandangkan kes berkenaan adalah kesalahan tidak boleh jamin.
Azhar bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai lima anak dan penyara tunggal keluarga selain menjaga bapanya menghidap strok.
Zulkifli kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak dibenarkan menganggu sebarang saksi.
Mahkamah menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.
IMedikel TV






