KUALA LUMPUR: Tautan cinta antara pempengaruh yang juga model, Ameera Khan dan pelakon sensasi Indonesia, Jefri Nichol semakin jelas apabila pelbagai ‘hint’ diberikan menerusi hantaran dimuat naik dalam media sosial.
Baru-baru ini, Ameera yang juga adik kepada selebriti popular, Neelofa terus mencuri perhatian ramai apabila video memaparkannya berpegangan tangan dengan Jefri menjadi tular.
Perkongsian itu sekali gus menimbulkan teka-teki mengenai status hubungan mereka yang sebelum ini didakwa pernah bercinta.
Dalam video sama, tangan Ameera atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan dipegang erat Jefri sebelum kedua-duanya tersenyum manis selepas disapa pemilik video berkenaan.
Difahamkan, video dirakam ketika Ameera atau nama penuhnya, Nur Ameera Abdul Halim Khan, 24, berada di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Kemudian, pempengaruh itu turut mengulang siar video berkenaan dan mengakui gembira berada di sana.
“Gembira di sini,” katanya ringkas dalam hantaran di Instagram (IG).
Bagaimanapun, ini bukan pertama kali gelagat mereka tular dan menjadi bualan ramai, sehingga ada yang beranggapan mereka serasi bersama.
Beberapa hari selepas itu, Ameera dilihat ‘merungkai’ tanda tanya ramai selepas meluahkan rasa lega apabila keluarganya merestui hubungan istimewa dengan Jefri.
Menurut Ameera, dia tidak perlu untuk memenuhi kehendak mana-mana pihak kecuali keluarganya.
“Keluarga sokong saya dan Jefri. Saya rasa tidak perlukan restu mana-mana pihak.
“Ini kerana keluarga saya okey membuatkan saya gembira,” katanya dalam siaran langsung IG, baru-baru ini.
Menjawab pertanyaan netizen, Ameera berkata, cara komunikasi dengan Jefri berjalan lancar meskipun berjauhan dan berbeza negara.
“Komunikasi dengan Jefri tidak sukar. Kalau anda tetapkan dalam kepala sukar, maka susahlah. Tetapi, jika rasa mudah, maka senanglah berkomunikasi,” ujarnya.
Ameera memuji sikap Jefri yang tidak sombong meskipun popular di Indonesia.
“Dia nama besar, tetapi sangat baik dan tak sombong. Saya bangga bersamanya. Itu pandangan saya mengenai hubungan kami,” kata Ameera.
Terdahulu, Jefri berdepan kecaman selepas membuat pendedahan pernah meniduri lebih 20 wanita, selain berlaku curang terhadap pasangannya.
Ameera dan Jefri dilapor pernah menyulam cinta, namun, hubungan mereka dikhabarkan putus sekitar Oktober 2021 selepas wanita itu tidak lagi mengikuti Jefri di IG.
Pada penghujung Mac tahun lalu, percintaan mereka dikhabarkan kembali bertaut selepas aktor itu menghubungi Ameera menerusi panggilan video.
Sebelum ini, tular satu rakaman video sesi siaran langsung Ameera memaklumkan dirinya lebih tertarik dengan lelaki Indonesia kerana menganggap mereka lebih romantik dan lemah lembut apabila berbicara dengan wanita.
Jefri mula terbabit dalam dunia lakonan sejak 2013 dan pernah membintangi filem popular seperti Surat Cinta Untuk Starla, Habibie & Ainun 3 dan Ali Topan. – BH Online –
IMedikel TV






